Anda di sini

LEADS, usaha celik huruf golongan dewasa

Advertisement

Oleh Agnes Tugong //

KELAS DEWASA: Antara aktiviti semasa perjalanan kelas Program LEADS. — Gambar fail dari laman web KEMAS

PROGRAM LEADS atau Pendidikan Kemahiran Literasi Dewasa mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan peserta dari daerah Lundu.

Menyasarkan golongan celik huruf dewasa, program ini bertujuan untuk mengurangkan kadar buta huruf di kawasan pedalaman Sarawak dan Sabah.

Di daerah Lundu, terdapat dua kelas LEADS telah diperkenalkan di Kampung Selampit dan Kampung Raso 2 bermula dua tahun lepas.

Menurut guru sambilan yang mengajar keduadua kelas ini Kolvincoren Jihem, setiap kelas terdiri daripada 30 orang peserta di kalangan orang dewasa.

Skop pembelajaran bagi kelas LEADS katanya ialah memberi kemahiran 3M iaitu menulis, membaca dan mengira yang merangkumi aspek kekeluargaan, kesihatan, ekonomi, kesedaran sivik dan umum.

“Tempoh mengajar adalah tiga bulan, tiga kali seminggu dan tiga jam sehari dan ia berlangsung pada waktu malam mengikut kesesuaian masa lapang peserta.

“Setakat ini sambutan dan maklum balas daripada para peserta amat menggalakkan malah banyak permintaan daripada kampung lain yang ingin program ini diadakan di kampung mereka,” katanya kepada Utusan Borneo.

Sementara itu, program LEADS ini telah diperkenalkan pada tahun 2010 oleh Unit Literasi di bawah sektor Operasi 2 Jabatan Kemajuan Masyarakat dengan fokus mencelik huruf masyarakat pedalaman Sarawak dan Sabah.

Program ini diperkenalkan di bawah inisiatif NKRA (Goal 4) dan dasar Literasi UNESCO di mana orang dewasa diberikan peluang belajar untuk kemajuan diri dan peningkatan taraf hidup keluarga masing-masing.

Merujuk kepada data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan pada tahun 2010, peratusan celik huruf di kalangan orang dewasa adalah 93.1 peratus.

Dijangkakan menjelang tahun 2015, peratusan celik huruf akan meningkat kepada 96.6 peratus.

Sejak pelaksanaannya, program LEADS telah menerima anugerah tempat ketiga Kajian Penilaian Outcome Terbaik Tahun 2011-Laporan Program LEADS sempena Hari Inovasi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah tahun 2012.

Advertisement