Anda di sini

Kertas Matematik, Bahasa Tamil UPSR dibatalkan

Advertisement

PUTRAJAYA: Kertas ujian Matematik 015/1 (Sekolah Kebangsaan), 025/1 (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina), 035/1 (Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil) dan Bahasa Tamil 036, 037 bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang berlangsung pada 10 September dibatalkan setelah disahkan bocor.

Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Khair Mohamad Yusof berkata tarikh baharu bagi ujian Matematik 015/1, 025/1, 035/1 dan Bahasa Tamil 036, 037 adalah pada 9 Oktober setelah mengambil kira cuti umum Aidiladha dan aspek logistik (percetakan dan pengedaran).

“Peperiksaan ini dilaksanakan semula bagi memastikan pengendalian peperiksaan awam mematuhi Prosedur Operasi Standard yang telah ditetapkan di samping menjamin integriti dan kredibiliti keputusan UPSR tersebut,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Katanya sebagai langkah serta merta, beliau sedang mengambil tindakan untuk melakukan pertukaran pegawai-pegawai di Lembaga Peperiksaan bagi memantapkan lagi pengurusan dan pengendalian peperiksaan awam.

Beliau berkata semua aspek keselamatan dalam pengurusan dan pengendalian kertas peperiksaan dari peringkat Lembaga Peperiksaan sehingga ke pusat peperiksaan diperketatkan.

Dr Khair berkata beliau telah mengambil alih pengawasan seluruh proses pengendalian peperiksaan awam yang dilaksanakan oleh Lembaga Peperiksaan sejak insiden kebocoran pertama dilaporkan pada 12 September.

“Saya amat memahami perasaan, keresahan dan kesulitan yang dihadapi oleh semua. Selaku Ketua Pengarah Pendidikan, saya memohon maaf kepada murid-murid, ibu bapa, guru-guru dan semua yang terlibat ekoran insiden ini.

“Saya telahpun mengarahkan semua guru besar dan guru untuk mengenal pasti dan memberi khidmat kaunseling kepada murid-murid yang memerlukan. Saya memberi jaminan dan komitmen bahawa insiden kebocoran kertas-kertas peperiksaan awam tidak akan berulang,” katanya.

Apabila ditanya sama ada terdapat kertas UPSR lain yang didapati bocor, Dr Khair berkata Kementerian Pendidikan yakin ia tidak berlaku.

“Sehingga semalam, inilah kertas-kertas yang berlaku kebocoran (Sains, Bahasa Inggeris, Matematik dan Bahasa Tamil),” katanya.

Untuk mengelakkan sebarang kekeliruan dan penyebaran berita palsu, Dr Khair menyeru orang awam melayari laman web Lembaga Peperiksaan www.moe.gov.my/lp untuk maklumat rasmi dan terkini berhubung perkara ini.

Pihak awam juga boleh menghubungi Hotline UPSR 2014 Lembaga Peperiksaan di talian 03-88883601/3551/3908/3520/3030, katanya.

Mengenai pertukaran pegawai-pegawai di Lembaga Peperiksaan, Dr Khair berkata langkah jangka pendek dan panjang itu adalah untuk memantapkan organisasi dan pengurusan peperiksaan awam.

“Kita sentiasa melakukan tapisan-tapisan untuk menentukan pegawai yang layak bertugas di Lembaga Peperiskaan. Itu merupakan langkah-langkah yang sentiasa dijalankan,” katanya.

Beliau menambah bahawa tindakan akan diambil terhadap pegawai Lembaga Peperiksaan yang cuai dan tidak patuh peraturan tugas.

Ditanya mengenai perkembangan siasatan kes kebocoran kertas UPSR di peringkat kementerian, Dr Khair berkata siasatan sudah selesai.

Beliau berkata siasatan dijalankan bermula seawal proses penggubalan kertas soalan oleh para guru, percetakan, pengedaran, penstoran, pengedaran (ke sekolah), proses pembukaan bungkusan kertas soalan sehingga ke bilik darjah.

Kepada soalan sama ada Kementerian Pendidikan mengesan sebarang kelemahan, beliau berkata jawatankuasa bebas bagi mengkaji SOP peperiksaan awam yang ditubuhkan adalah bertujuan memantapkan operasi pengendalian dan pengurusan peperiksaan awam termasuk dari segi keselamatan.

“Kita perlukan tuntutan yang baharu dan teknologi baharu meningkatkan pengendalian dan pengurusan kertas peperiksaan awam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tan Sri Dr Madinah Mohamad berkata satu jawatankuasa dalaman akan menjalankan siasatan ke atas pegawai yang mungkin melakukan ketidakpatuhan.

“Setelah kertas siasatan diserahkan, kita akan mengadakan mesyuarat Lembaga Tatatertib. Pegawai-pegawai akan disiasat mengikut gred masing-masing.

“Langkah-langkah akan diambil setelah mendapat kepastian. Kementerian tidak akan mengambil tindakan secara terburu-buru,” katanya. — Bernama

Advertisement