Anda di sini

Tidak perlu bimbang penyakit Ebola

Advertisement

Basuh tangan dengan air dan sabun langkah pencegahan paling mudah

KUALA LUMPUR: Membasuh tangan dengan air dan sabun serta membersihkannya dengan kerap, merupakan cara paling mudah untuk mencegah penyebaran virus penyakit Ebola daripada seorang kepada seseorang.

Menurut Sean G. Kaufman, pakar biokeselamatan, rakyat Malaysia tidak perlu bimbang dan berasa takut dengan Ebola, kerana virus itu amat lemah dan boleh dilemahkan dengan langkah pencegahan tersebut untuk mengelak daripada dijangkiti virus itu.

Katanya walaupun virus Ebola adalah bahaya dan boleh membawa maut kepada mereka yang dijangkiti namun langkah pencegahan itu masih terbukti mampu mencegah virus itu daripada tersebar.

“Daripada semua virus berbahaya yang wujud di dunia ini,  Ebola adalah yang paling mudah untuk dilemahkan. Ebola adalah virus pembiakan lipid yang bermaksud virus itu disaluti lapisan perlindungan yang melindungi virus dan lapisan itu boleh dilemahkan.

“…mana-mana bahan cuci di rumah dengan mudah dapat melemahkan dan membunuh virus itu,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri bengkel tentang kesedaran risiko biologi “Pencegahan dan Kawalan Jangkitan bagi Pengurusan Penyakit Viral Ebola’, di sini.

Bengkel anjuran Malaysian Biosafety and Biosecurity Association (MBBA) berobjektif itu berobjektif mendidik tenaga kerja klinikal dari segi pengendalian Ebola sekiranya virus itu menjangkiti rakyat Malaysia.

Selain itu, Sean juga menasihatkan orang awam supaya minum banyak air untuk meningkatkan sistem imun badan dan perlu senantiasa menjaga kesihatan mereka.

“Jika anda sakit, anda perlu mengamalkan tanggungjawab sosial iaitu anda perlu memastikan yang anda tidak menyebabkan orang lain turut sakit, pastikan anda menjaga diri anda dengan tidak pergi kerja dalam keadaan sakit yang akan menyebabkan orang lain sakit, dan pada masa sama anda perlu kekal aktif secara fizikal,” katanya.

Sean yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam pengurusan biokeselamatan, memulakan kerjaya sebagai Pakar Pendidikan Kesihatan, Pusat Penyakit Berjangkit Nasional di Pusat Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (CDC) dan telah mengkaji pengendalian biokeselamatan bagi virus berbahaya seperti SARS, taun, Anthrax, AIDS dan Ebola.

Ketika ini beliau ialah Pengarah Program Lathan Keselamatan di Emory University.

Beliau juga telah menerbitkan penerbitan profesional seperti Epidemiologic Investigations and Bioterrorism-Related Anthrax; Surviving Biosafety, dan Viral Hemorrhagic Fevers: Workforce Preparedness in Hemorrhagic Fevers Outbreak.

Sean juga memuji usaha Kementerian Kesihatan dan kerajaan Malaysia yang mengambil pelbagai langkah pencegahan untuk mencegah virus itu daripada menular ke negara ini.

“Saya berpendapat Malaysia telah menjalankan tugas dengan cemerlang setakat ini, saya berpendapat perancangan yang mereka sedang bangunkan adalah amat baik, latihan mengenai pencegahan jangkitan dan pengendalian pengawalan adalah penting.

“Malaysia juga perlu berjaga-jaga dengan senantiasa memantau mereka yang masuk dan keluar Malaysia untuk memastikan mereka sihat,” kata Sean yang berada di Nigeria beberapa minggu sebelum ini dan malah menyertai  pasukan Ebola Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Afrika Barat.

Ketika ditanya keadaan di Afrika berikutan angka kematian akibat Ebola kini mencecah lebih 2,500 orang sejak Februari, beliau berkata stigma dalam kalangan penduduk di Afrika yang bimbangkan wabak Ebola, telah menyebabkan jangkitan merebak dan meningkat dengan ketara.

Beliau berkata penduduk di Afrika yang menghidap demam cenderung mengelak mendapatkan rawatan profesional dan menggalakkan anggota keluarga menjaga mereka.

“Punca utama kenapa Ebola menular di Afrika adalah stigma berkaitan penyakit itu, apa yang kita hadapi ialah kebimbangan orang ramai iaitu orang ramai melihat Ebola sebagai sesuatu yang amat menakutkan dan berikutan rasa takut itu, mereka cenderung untuk mengelak mendapatkan bantuan daripada pakar,” katanya.

Katanya kesulitan lain dihadapi pasukannya semasa merawat pesakit Ebola adalah staf klinikal di Afrika masih belum mahir dari segi menjalankan prosedur betul untuk merawat pesakit Ebola yang menyebabkan beberapa staf dijangkiti penyakit itu.

Selain menjadi pakar biokeselamatan bagi pasukan perubatan di Afrika, Sean juga mengetuai pasukan perubatan di Atlanta pada bulan lepas untuk merawat dua warga Amerika yang dijangkiti virus Ebola.

Sean dipertanggungjawabkan untuk memastikan para doktor, jururawat dan staf lain melakukan apa yang perlu bagi mencegah virus itu daripada tersebar keluar daripada wad pengasingan di Atlanta.

Apa yang anda perlu tahu tentang fakta Ebola:

- Ebola tidak boleh tersebar menerusi udara atau air, atau amnya makanan.

- Ebola tersebar menerusi sentuhan secara langsung dengan cairan dan tisu badan mereka yang dijangkiti

- Simptom termasuk demam pada suhu tinggi (lebih 38.6°C atau 101.5°F), muntah, cirit-birit, kegagalan buah pinggang dan hati

- Virus Ebola dipercayai boleh hidup lebih 15 hari dalam cairan yang mengandungi organisme yang dijangkiti

- Penyahjangkitan klorin, suhu panas, pancaran matahari, sabun dan bahan cuci boleh membunuh virus.

- Simptom mungkin boleh dikesan dalam tempoh dua hingga 21 hari selepas terdedah kepada Ebola, tetapi puratanya tujuh hingga 10 hari

- Pemulihan daripada Ebola bergantung kepada respons imun pesakit – Sehingga kini, masih tiada vaksin bagi Ebola. — Bernama

Advertisement