KUCHING: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memulakan kempen Piala Sarawak 2014 dengan langkah kanan setelah berjaya menundukkan Sri Aman 3-2 di Stadium Mini Samarahan semalam.
Kedua-dua pasukan memperagakan corak permainan menyerang sebaik wisel dibunyikan dalam usaha memburu gol awal.
Begitupun, ATM terlebih dahulu di hadapan pada minit ke-16 menerusi sepakan penalti yang berjaya disempurnakan oleh Justinus Mian.
Gol Justinus itu kekal hingga berakhir babak pertama.
Sri Aman berjaya menyamanakan kedudukan pada minit ke-52 hasil jaringan Hairil Jaafar.
Kedudukan itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Roka Janting sekali lagi meletakkan ATM di hadapan pada minit ke-60.
Derita Sri Aman kian bertambah setelah Lasdy Lasiu menyumbat gol ketiga ATM pada minit ke-78 bagi menjadikan kedudukan 3-1.
Mohd Zulfadzli Tahir menghidupkan harapan Sri Aman dengan jaringan cantik minit ke-84 namun agak lewat untuk membantu skuadnya.
Kedudukan itu kekal hingga tamat masa perlawanan menyaksikan ATM mendahului Kumpulan D dengan tiga mata.
Kemenangan itu bagaimanapun belum cukup memuaskan jurulatih ATM Akub Dawat masih belum berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan sambil berkata banyak lagi kelemahan yang perlu diatasi jika anak-anak buahnya mahu melangkah jauh dalam kempen Piala Sarawak kali ini.
“Pemain-pemain masih gagal menunjukkan kualiti sebenar dan banyak kelemahan yang jelas dilihat terutama dari segi kawalan dan hantaran yang tidak kemas,” ujarnya.
Jelasnya, pemain perlu memperbaiki kelemahan itu untuk berhadapan dengan Sibu esok.
Sementara itu, peluang Limbang untuk ke suku akhir kembali terbuka setelah mencatat kemenangan besar menewaskan Mukah 4-1 pada perlawanan kedua kumpulan C di Stadium Mini Unimas semalam.
Gol-gol Limbang dijaringkan oleh Mohd Alif Hassan (18), Mazlan Bujok (30), Alex Maxwell (40) dan Mohd Shamirol Hafifi (48).
“Syukur di atas kemenangan ini…ia kembali menghidupkan peluang kita,” jelas Pengurus Pasukan Abdul Ajis Kon Mohd Ghazali semalam.
“Saya berharap nasib akan menyebelahi kita pada perlawanan terakhir menentang Samarahan nanti.”