Anda di sini

Persaingan semakin sengit di Pengkalan Kubor

Advertisement

TUMPAT: Berbaki tiga hari lagi untuk berkempen, persaingan bagi ketiga-tiga calon pilihan raya kecil (PRK) kawasan Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor kini melalui fasa akhir dan semakin sengit bagi meraih undi 24,039 pemilih berdaftar di kawasan itu pada 25 Sept ini.

Sebanyak 109 orang daripadanya adalah pengundi awal telah mengundi hari ini bagi memilih satu daripada tiga calon iaitu calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Tumpuan sememangnya diberikan kepada dua calon iaitu Mat Razi dan Wan Rosdi manakala calon Bebas Izat Bukhary mahu mencuba nasib buat kali kedua setelah pernah hilang deposit pada pilihan raya umum ke-13 lepas di DUN sama.

“Peluang calon BN dan PAS setakat ini adalah 50-50 kerana kawasan ini sememangnya ramai penyokong Barisan Nasional (BN) tetapi ia dikelilingi oleh kubu kuat PAS dan kelebihan parti itu sebagai parti pemerintah,” kata seorang pemimpin masyarakat yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Im.

Katanya, calon BN dan PAS memnyai kelebihan masing-masing kerana dikenali ramai oleh penduduk setempat.

Menurut Pak Im, 55, dari aspek populariti, Mat Razi mendahului calon PAS Wan Rosdi kerana kelebihannya dikenali sebagai “ustaz” dan membuka pondok atas tanah miliknya yang diwakafkan.

Mat Razi juga dikenali ramai kerana menjadi guru dan kegigihannya bekerja terbukti apabila dinaik pangkat daripada guru biasa sehingga menjadi Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Tumpat dan menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda semasa dalam perkhidmatan.

“Mat Razi ni memang dikenali ramai, dia juga dihormati di kawasan ini kerana diganggap ustaz oleh orang kampung”, kata beliau.

Wan Rosdi pula, lepasan Institut Kemahiran MARA dalam bidang binaan adalah seorang kontraktor dan beliau dikenali oleh anggota PAS kerana memegang jawatan sebagai setiausaha PAS kawasan Tumpat.

Pak Im berkata, Wan Rosdi tentu akan mendapat sokongan padu penyokong dan anggota PAS di kawasan itu atas jawatannya dalam parti peringkat kawasan.

Menurut seorang pemerhati politik veteran tempatan, Ahmad Mustapa, 60, faktor kemenangan calon akan ditentukan oleh pengundi atas pagar.

Katanya, lebih 5,000 pengundi di kawasan itu terutamanya golongan peniaga, penjawat awam dan suri rumah sebenarnya tidak terikat dengan mana-mana parti politik dan mereka inilah yang menentukan kemenangan mana-mana calon.

Disebabkan tiada isu yang boleh mempengaruhi golongan atas pagar itu, apa yang cuba dilakukan oleh PAS ialah menabur pelbagai tohmahan seperti mempertikaikan gelaran “ustaz” diberikan kepada Mat Razi oleh masyarakat kampung.

PAS mendakwa Mat Razi tidak layak digelar ustaz atas alasan calon BN itu hanya berpakaian formal pergi ke pejabat dan hanya mengajar agama secara sambilan di pondoknya.

Apa yang lebih menyedihkan, terdapat kempen memburuk-burukkan peribadi Mat Razi dengan mendakwa kononnya bekas guru itu mempunyai seorang kekasih gelap. — Bernama

Mat Razi menafikan semua tuduhan itu dan menyifatkannya sebagai fitnah dan mengenai gelaran ustaz, calon BN itu menjelaskan beliau tidak pernah meminta sesiapa pun memanggilnya dengan gelaran itu tetapi orang kampung yang lebih senang menggelarnya ustaz.

PAS juga berdolak-dalik dalam isu tuntutan royalti petroleum apabila Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata PAS Kelantan tidak mahu mana-mana pihak menggunakan isu itu dalam kempen kerana ia masih menjadi kes mahkamah.

Dalam masa yang sama Mursyidul Amnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam satu ceramah kempennya mengeluarkan fatwa bahawa tindakan kerajaan tidak mahu membayar royalti itu adalah satu dosa dunia dan akhirat.

Setelah BN mendedahkan tuntutan royalti sebanyak RM12 bilion itu adalah satu fitnah, kini PAS beralih pula kepada isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan meminta rakyat mengundi PAS sebagai isyarat protes pelaksanaan GST pada April tahun depan.

Kehadiran Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke kawasan Pengkalan Kubor untuk bertemu rakyat dan memberi penjelasan tentang dasar kerajaan pusat, telah memberi kesan positif apabila ramai pengundi mula memahami tuduhan-tuduhan liar pembangkang.

Seorang nelayan, Ismail Mamat yang menghadiri perjumpaan bersama Timbalan Perdana Menteri berkata “Ambo (saya) minta rakyat kawasan Pengkalan Kubor ni buka mata seluas-luasnya, tengoklah jasa BN, jangan percaya fitnah PAS”.

Izat Bukhary pula kecewa kerana kempennya tidak mendapat sambutan apabila tiada seorangpun menghubunginya untuk menyertai pertandingan mencipta pen terbesar anjurannya walaupun menawarkan hadiah wang tunai berjumlah lebih RM2,000 dan 65 hadiah sagu hati.

Pengkalan Kubor adalah sebuah kawasan bersempadan dengan negara Thailand dan nama kawasan itu dikaitkan dengan sebuah pengkalan yang terletak berhampiran sebuah tanah perkuburan.

Menurut Razali Wan Min, 67, terdapat banyak pengkalan diwujudkan penduduk sepanjang sungai Golok pada ketika itu bagi memudahkan urusan perniagaan dan pertanian antara Pengkalan Kubor dan Tak Bai serta beberapa kampung berdekatan.

Pengkalan Kubor yang terkenal dengan Kawasan Bebas Cukai kini lebih meriah dengan kehadiran ribuan manusia berikutan PRK pada 25 Sept ini.

PRK itu diadakan ekoran kematian penyandangnya daripada BN Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar akibat barah hati pada 20 Ogos lalu. — Bernama

Advertisement