Anda di sini

Najib tiba di New York untuk hadiri Perhimpunan Agung PBB

Advertisement

NEW YORK: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini, Sabtu (Ahad di Malaysia) bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Pesawat khas yang membawa Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor mendarat di Lapangan Terbang Westchester County di sini, pada jam 7.30 malam (7.30 pagi Ahad di Malaysia).

Mereka disambut Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Duta Besar Malaysia di Amerika Syarikat Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Wakil Tetap Malaysia di PBB Datuk Hussein Haniff.

Najib dijadual menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung bertempat di ibu pejabat PBB di sini, pada 26 Sept.

Beliau diundang oleh Akademi Sains New York sebagai seorang daripada penceramah utama pada majlis pelancaran antarabangsa Global STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) Alliance, di sini, pada 22 Sept.

Semasa majlis itu, Rosmah akan menerima Anugerah Hero STEM untuk menghargai sumbangan beliau dalam pembangunan pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia.

Najib juga akan menyampaikan pernyataan untuk menggariskan usaha dan  pandangan Malaysia dalam memerangi perubahan iklim global pada Persidangan Perubahan Iklim PBB, di ibu pejabat PBB, pada 23 Sept.

Pada hari sama (23 Sept), Perdana Menteri telah diundang untuk menyampaikan ucaptama di Georgetown University di Washington D.C.

Acara penting semasa lawatan kerja Perdana Menteri itu juga, ialah Mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa Bioteknologi (Bio-IAP) di sini yang beliau dijangka menyampaikan ucapan pembukaan pada hari berikutnya.

Perdana Menteri kemudian dijadual mempengerusikan mesyuarat ke-4 Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) di Akademi Sains New York, di sini.

Pada sebelah malam, Perdana Menteri akan menganjurkan majlis makan malam bersama warga Malaysia di sini.

Pada 25 Sept, Najib dijadual mengadakan pertemuan dengan pemimpin perniagaan pada Sesi Meja Bulat Pelabur serta menganjurkan majlis makan tengah hari bagi eksekutif perniagaan kanan Amerika Syarikat (AS) di sini.

Kemudiannya, Najib akan menyampaikan ucaptama pada Forum Perniagaan Malaysia-AS di sini, bagi mempromosikan Malaysia sebagai destinasi menarik untuk pelaburan.

Perdana Menteri juga diundang menghadiri Mesyuarat Terbuka Ketua-ketua Kerajaan Komanwel mengenai Pembaharuan CHOGM, pada sebelah petang hari sama (25 Sept).

Pada hari berikutnya, Najib dan Rosmah juga akan menyertai dua acara iaitu aktiviti sukarela 1M4U di sini serta menghoskan majlis makan malam sempena majlis penyampaian Anugerah Biasiswa Perdana. — Bernama

Advertisement