Anda di sini

Kerjasama, semangat berpasukan elemen penting: Lee

Advertisement

KUCHING: Kerjasama dan semangat berpasukan merupakan elemen penting dalam sukan bola keranjang, demikian menurut Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin.

Katanya, latihan yang berterusan juga sangat penting sebelum kejohanan bermula di samping setiap pemain perlu mengambil inisiatif untuk memantapkan kemahiran masing-masing.

“Saya melihat prestasi pemain bola keranjang Sarawak agak menurun sejak kebelakangan ini, menimbulkan rasa kecewa di kalangan peminat tempatan. Ini mungkin disebabkan kebanyakan pemain tidak menjalani latihan berpusat di sini.

“Justeru, adalah penting bagi setiap pemain menjalani latihan bersama agar corak permainan mereka seimbang kerana mendapat bimbingan dari jurulatih yang sama,” katanya semasa merasmikan penutupan Kejohanan Bola Keranjang Datuk Wee Hook Teck di Stadium Tertutup Persatuan Bola Keranjang Kota Sentosa pada Jumaat lalu.

Lee turut menekankan kepada jurulatih agar memainkan peranan penting dalam meningkatkan prestasi dan kemahiran para pemain.

“Seorang jurulatih yang baik bukan hanya melatih pasukan untuk menang tetapi turut membantu membina sebuah pasukan yang serba mantap,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Lee berkata Persatuan Bola Keranjang Bahagian Kuching (KDBA) sedang mencari pemain yang berpotensi untuk dilatih bagi mewakili negeri pada kejohanan kebangsaan akan datang.

Turut hadir Presiden KDBA Richard Wee, Pengerusi Kehormat Wong Tiong Hock dan Pengerusi Penganjur Wilson Tan.

Advertisement