Anda di sini

KD Sri Johor tumpas cubaan seludup lebih 1,200 liter petrol ke Filipina

Advertisement

KUALA LUMPUR: Cubaan sebuah bot menyeludup 51 tong berisi 1,275 liter minyak petrol dipercayai untuk dibawa ke Sitangkai, Filipina gagal selepas ditahan kapal ronda Tentera Laut Diraja Malaysia, KD Sri Johor.

Komander Pangkalan Sandakan Markas Pangkalan Sandakan Laksamana Pertama Ahmad Abdullah berkata dalam kejadian pada jam 3.15 pagi itu, bot berkenaan dipintas kira-kira 22 batu nautika utara Pulau Mataking, iaitu 4.4 batu nautika dari sempadan perairan antarabangsa Malaysia-Filipina.

“Bot ini dipintas semasa kami melaksanakan operasi mengawasi keselamatan perairan ESScom (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah),” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Hasil pemeriksaan, terdapat tiga awak-awak berumur antara 18 dan 22 tahun tidak mempunyai pengenalan diri sah di dalam bot berkenaan, katanya.

“Pemeriksaan juga mendapati terdapat 51 tong minyak petrol berkapasiti 25 liter setiap satu dianggarkan bernilai RM2,677 yang akan diseludup ke Sitangkai, Filipina.

Turut dirampas wang bernilai RM1,454, 2,500 Peso (RM182) dan empat buah telefon bimbit, katanya.

Beliau berkata bot kayu itu dilengkapi sebuah enjin 15 kuasa kuda dan diiringi dua bot pam dengan enjin 19 kuasa kuda setiap satu.

Katanya awak-awak, barang rampasan serta bot tersebut ditunda ke Kapal Induk Bunga Mas 5 untuk tindakan lanjut. — Bernama

Advertisement