Anda di sini

Bekas pelajar SMK Sedaya imbau kenangan manis zaman sekolah

Advertisement

Oleh Watt Zacchaeus //

RASMI: Ambrose (tengah) melakukan simbolik perasmian majlis tersebut.

KENANGAN manis zaman sekolah dahulu kini diimbau kembali oleh Winny Bayak bersama hampir 400 bekas rakan sekolahnya dari SMK Sedaya apabila mereka berkumpul pada majlis makan malam sempena majlis perjumpaan semula yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Sibu, baru-baru ini.

Majlis perjumpaan semula itu adalah yang pertama kali dianjurkan oleh Persatuan Alumni SMK Sedaya yang baharu ditubuhkan pada April lepas.

Bertemakan ‘Mulaika Pengingat’ (mengenang kembali kenangan), Winny dan rakan sekolahnya yang pernah belajar di sekolah itu antara tahun 1985 dan 2005 kesemuanya telah menghadiri majlis tersebut sambil mengenakan pakaian berwarna merah, putih dan hitam.

Pada majlis itu, Winny, 32, yang bekerja sebagai Pembantu Pengurusan Murid di SK Nanga Tada, Kanowit telah bertemu semula dengan rakan-rakannya.

Antaranya ialah Jebeli Tukau, Kilo Bunya, Doreen Akok, Audrey Rangie, Lau King Hung, Robina Kong dan Robin Ugap.

Tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Pengetua SMK Sedaya Ambrose Jarit.

Dalam ucapannya, Ambrose melahirkan rasa gembira bahawa sekolah itu telah melahirkan ramai golongan profesional dan individu yang berjaya.

KENANGAN KITA: Persembahan koir oleh bekas pelajar dengan lagu ‘Mulaika Pengingat’.

Beliau turut menggalakkan bekas pelajar untuk menyumbang kembali kepada pembangunan sekolah dari segi fizikal dan rohani.

“Ini untuk mengekalkan nama baik SMK Sedaya dan kita boleh terus melahirkan ramai lagi orang yang berjaya,” katanya.

SMK Sedaya adalah antara sekolah menengah yang tertua di negeri ini.

Sekolah ini mula dikenali sebagai ‘Kanowit Rural Improvement School’ apabila ia telah dirasmikan pada tahun 1958 oleh Residen Bahagian Ketiga D.C White.

Sekolah ini telah berkhidmat di kawasan tengah di negeri ini.

Antara bekas pelajar yang berjaya ialah Pengerusi Tenaga Nasional Berhad Tan Sri Leo Moggie, Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom, Menteri Muda Kemajuan Tanah Datuk Gramong Juna, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datu Len Talif Salleh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Alexander Vincent dan Dr Joseph Jawa Kendawang.

Sementara itu, majlis tersebut dimeriahkan lagi dengan cabutan bertuah, persembahan oleh artis undangan Lucy M, Diana Ant Blikau, Amis U dan Leez Zwita, suara emas dan ‘King and Queen Of The Night’.

Advertisement