Anda di sini

Alamat tidak tepat: Sejuta surat gagal diserahkan kepada penerima

Advertisement

BESUT: Kira-kira satu juta surat yang diuruskan oleh Pos Malaysia Berhad gagal diserahkan kepada penerimanya kerana tidak mempunyai alamat yang tepat tahun lepas.

Ketua Operasi PosMel Pos Malaysia Hasnul Hadi berkata surat yang tidak dapat diserahkan itu bukan sahaja tidak mempunyai nombor rumah atau nombor lot tetapi juga didapati tidak dijelaskan nama jalan, lorong atau kampung hingga menyebabkan ianya terpaksa dipulangkan kembali kepada pengirimnya.

Bagaimanapun beliau berkata surat atau item yang diuruskan oleh syarikat berkenaan yang mempunyai alamat lengkap tidak menghadapi masalah dan berjaya diserahkan oleh posmen serahan dalam waktu yang ditetapkan kepada penerima mereka.

“Pos Malaysia sedang mengatasi masalah penggunaan alamat yang tidak lengkap menerusi strategi khas bagi menyedarkan orang ramai terhadap penggunaan alamat yang tepat dan betul bagi memudahkan serahan surat,” katanya kepada pemberita selepas menutup Konvensyen PosMel kepada Posmen Penyerahan dari Kelantan dan Terengganu sini semalam.

Hasnul berkata kadar aduan yang diterima daripada orang ramai terhadap mutu perkhidmatan Pos Malaysia sejak kebelakangan ini juga telah menurun sehingga tahap 50 peratus sebulan berbanding antara 200 hingga 300 peratus pada tahun lepas.

Katanya kekurangan itu berikutan tahap kesedaran orang ramai yang semakin peka dengan penggunaan alamat rumah dan kediaman yang lengkap dan memudahkan posmen membuat serahan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kira-kira 17,000 pekerja Pos Malaysia akan diberi imej baharu dengan pakaian seragam korporat yang membabitkan petugas kaunter, PosMel dan Poslaju.

Pemakaian pakaian seragam baharu Pos Malaysia yang direka khas itu itu akan dilaksanakan pada akhir tahun ini, katanya. — Bernama

Advertisement