Anda di sini

Pengalaman Pakar Forensik kenal pasti mangsa nahas MH17 akan dibukukan

Advertisement

KUANTAN: Kementerian Kesihatan akan mengumpul dan membukukan pengalaman sekumpulan pakar forensik yang terbabit dengan proses mengenal pasti mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 di Belanda untuk dijadikan rujukan dalam bidang forensik di negara ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pengalaman itu merupakan sesuatu yang berharga dan perlu dijadikan asas menyiasat sebarang kes berprofil tinggi di negara ini sekali gus mampu mempercepat tempoh siasatan.

“Peluang melakukan siasatan membabitkan pesawat MH17 yang ditembak jatuh di wilayah Ukraine amat berharga dan tidak terdapat pada semua negara lain.

“Sehubungan itu, kita akan merekodkan segala aktiviti dan peranan yang mereka lakukan sepanjang tempoh siasatan itu malah saya juga sudah sarankan kepada mereka agar mengumpul pengalaman dengan menulis dalam majalah ataupun jurnal perubatan forensik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Konvensyen Kebangsaan Perubatan Forensik dan Sains 2014 di sini, Sabtu.

Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Norhizan Ismail dan Pakar Perunding Perubatan Forensik Kementerian Kesihatan Dr Mohd Shah Mahmood.

Noor Hisham berkata pegawai forensik yang terbabit juga telah membuktikan kehebatan serta kecekapan masing-masing sehingga diiktiraf negara luar.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua warga perkhidmatan forensik seperti di Kementerian Kesihatan, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia supaya menjaga kerahsiaan laporan serta gambar bedah siasat mayat agar tidak dimuat naik dalam laman sosial.

Katanya, perbuatan menyebarkan segala maklumat berkenaan adalah satu kesalahan di bawah Akta Perubatan 1971 dan boleh dikenakan tindakan mahkamah serta tatatertib.

Sementara itu, Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan kini berusaha menyediakan sebuah Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN).

Beliau berkata meskipun konsep pembinaan IPFN sudah diluluskan pada 2012, kekangan ekonomi adalah faktor utama dalam melaksanakan perancangan ini. – BERNAMA

Advertisement