Anda di sini

Pencegahan, kawalan wabak denggi perlukan penyertaan masyarakat – MB Johor

Advertisement

JOHOR BAHARU: Kerjasama awam dan swasta dalam pencegahan dan pengawalan wabak denggi perlu sentiasa membabitkan penyertaan masyarakat, kata Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata penubuhan mekanisme penyelarasan dalam kalangan kumpulan kerja masyarakat, perkhidmatan kesihatan dan struktur kerajaan tempatan untuk memperkukuh penyelarasan antara sektor merupakan cara bagi memerangi wabak itu.

“Di bawah pelaksanaan ‘Pelan Suara Hati Johor’, kerajaan negeri menggariskan aktiviti utama yang secara langsung menangani penyebaran denggi termasuk langkah pemeriksaan sehingga 10,000 kawasan perumahan dan membabitkan penyertaan masyarakat dalam 800 aktiviti gotong-royong pada 2014 sahaja,” katanya di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai.

Mohamed Khaled berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Antarabangsa Kedua Situasi Demam Denggi dan Kawalannya di UTM pada Sabtu.

Beliau berkata satu jawatankuasa khas berhubung kesan tingkah laku membabitkan pelbagai pihak berkepentingan di negeri ini telahpun dibentuk, yang dipengerusikan exco kesihatan dan alam sekitar, bagi menangani ancaman denggi.

Jawatankuasa berkenaan akan menyelia dan memantau semua aktiviti berkaitan pencegahan serta intervensi denggi di kesemua 10 daerah, dan meliputi 100 jawatankuasa tempatan dalam mengenal pasti kawasan terjejas di seluruh Johor.

Persidangan dua hari itu, yang bermula hari ini, menampilkan enam penceramah tempatan dan antarabangsa terkemuka pelbagai latar belakang untuk membentangkan kertas kerja mengenai demam denggi serta pengawalannya.

Ia dianjur Institut Alam Sekitar dan Pengurusan Sumber Air UTM, Rotary International, Persatuan Perubatan Malaysia dan Institut Jurutera Malaysia. – BERNAMA

Advertisement