Anda di sini

Tiga lagi jenazah mangsa nahas MH17 rakyat M’sia tiba semalam

Advertisement

SEPANG: Tiga lagi jenazah, termasuk dua adik-beradik, yang maut dalam tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine, tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan diberi penghormatan penuh adat ketenteraan.

Suasana pilu dan hiba menyelubungi khemah yang ditempatkan khas di perkarangan Kompleks Bunga Raya apabila jenazah Muhammad Afzal Tambi, 17, dan adiknya Marsha Azmeena, 15, serta anak kapal Shaikh Mohd Noor Mahmood dibawa keluar dari pesawat komersial dari Amsterdam.

Hadir pada istiadat tersebut, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan waris keluarga mangsa tragedi.

Sebagai tanda penghormatan kepada Shaikh, beberapa waris kelihatan memakai kemeja-T hitam tertera perkataan ‘In our heart cabin crew Shaikh Mohd Noor 17.07.14’

Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17 bermula sebaik pesawat yang membawa ketiga-tiga jenazah berkenaan berhenti sepenuhnya pada jam 8.30 pagi.

Ketiga-tiga keranda yang diliputi Jalur Gemilang diturunkan dari pesawat pada jam 8.40 pagi dan diusung anggota pengiring Tentera Diraja Malaysia yang lengkap pakaian seragam putih ke kenderaan jenazah dengan penuh adat ketenteraan.

Sebaik selesai proses ketiga-tiga keranda dimasukkan ke dalam van jenazah, semua yang hadir berdiri dan bertafakur selama seminit pada jam 8.48 pagi sebagai tanda penghormatan sebelum kenderaan jenazah melakukan lintas lalu di hadapan khemah tetamu kehormat dan waris pada 8.50 pagi.

Selesai istiadat penghormatan, jenazah Afzal dan Marsha yang merupakan anak pasangan Allahyarham Tambi Jiee dan Ariza Ghazalee yang turut terkorban dalam nahas berkenaan, diterbangkan menggunakan pesawat jenis Charlie C130 Tentera Udara Diraja Malaysia ke Kuching, Sarawak, pada jam 9.02 pagi.

Jenazah Shaikh Mohd akam dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Jati, Kampung Jawa, Klang.

Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang termasuk anak kapal sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai.

Daripada 43 penumpang rakyat Malaysia berada dalam pesawat Boeing 777-200 itu, identiti 41 jenazah yang terdiri daripada 26 penumpang dan 15 anak kapal sudah dikenal pasti.

Setakat ini, 36 jenazah penumpang rakyat Malaysia telah dibawa pulang ke tanah air.

Kelmarin, Liow berkata identiti lima lagi jenazah rakyat Malaysia sudah dikenal pasti, iaitu Liew Yau Chee, Tan Siew Poh, Meling Mula, Metthew Ezekial Sivagnanam dan Lee Kiah Yeen. — Bernama

Advertisement