Anda di sini

Perwakilan gesa Muktamar PAS buat ketetapan tolak jawatan MB Selangor

Advertisement

BATU PAHAT: Muktamar Tahunan PAS ke-60 semalam digesa membuat ketetapan untuk menolak jawatan menteri besar Selangor sekiranya calon daripada parti itu dipilih untuk dilantik jawatan berkenaan.

Perwakilan Perlis Wan Kharizal Wan Khazim berkata PAS perlu menolak jawatan tersebut sebagai berpegang teguh kepada janji dan integriti yang diamalkan oleh parti berkenaan.

“PAS sudah berjanji dengan rakan di dalam pakatan sewaktu mesyuarat pada 17 Ogos lepas untuk menolak jawatan tersebut sekiranya calon daripada parti itu dipilih.

“Kita perlu memberi isyarat jelas untuk bersungguh-sungguh bersama Pakatan Rakyat, jadi, Perlis gesa muktamar membuat ketetapan iaitu apabila jawatan diberi kepada PAS, kita kena tolak untuk tegaskan kepada ahli bahawa kita berpegang pada inte-griti,” katanya.

Wan Kharizal berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar presiden pada Muktamar Tahunan PAS ke-60 yang berlangsung di Parit Raja, di sini, semalam.

Perwakilan Negeri Sembilan Mohd Khairul Anuar Wafa yang turut menyokong saranan itu berkata penolakan jawatan berkenaan adalah selaras dengan dasar menghormati setia kawan yang diamalkan di dalam pakatan selama ini.

Bagaimanapun, perwakilan Pulau Pinang Izuri Ibrahim pula meminta seluruh kepimpinan dan anggota PAS supaya menjaga hubungan yang baik dengan Sultan dan Raja-Raja Melayu.

Beliau menegaskan hubu-ngan yang baik dengan istana perlu dijaga supaya parti itu tidak dipalit dengan kebencian orang Melayu.

Sehubungan itu, Izuri berharap agar pemimpin dan anggota parti menghentikan kenyataan liar yang menunjukkan penentangan terhadap Sultan.

Sementara itu, perwakilan Kelantan Ahmad Fadhli Shaari berkata tindakan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu membelakangkan keputusan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung isu menteri besar Selangor dianggap “memalukan”.

“Saya hormat dengan timbalan presiden, di antara saya dengan dia (Mohamad) amat jauh tetapi saya amat sedih apabila presiden membuat keputusan, Mohamad Sabu pula berkata ia adalah keputusan peribadi tuan presiden.

“Walaupun ada percanggahan pendapat, janganlah disebut secara terbuka sebab ia akan menyebabkan ahli keliru. Saya percaya presiden amat berlapang dada tetapi apa yang dilakukan timbalan presiden amat memalukan,” kata Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan itu.

Katanya, dalam isu pemilihan menteri besar Selangor yang baharu bagi mengganti-kan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, parti perlu menge-kalkan hubungan baik dengan Istana bagi menjunjung institusi diraja negara ini.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli mahu PAS menyiasat pihak yang bertanggungjawab membocorkan keputusan mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat berkenaan calon-calon menteri besar Selangor baru-baru ini. — Bernama

Advertisement