TUMPAT: Sebanyak 109 anggota polis yang berdaftar sebagai pengundi awal bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor akan menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih calon pada pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu Ahad ini.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh berkata mereka akan mengundi di Pusat Pengundian Awal di Dewan Delima, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat.
Katanya, pusat pengundian awal itu dibuka dari jam 8 pagi hingga jam 3 petang pada hari berkenaan.
“Pengundian awal ini dibuat lima hari lebih awal daripada hari pengundian biasa dan proses pengundian itu adalah mengikut kaedah pengundian biasa dengan dikendalikan oleh petugas SPR,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.
Abdul Ghani berkata daftar pemilih yang digunakan untuk PRK itu adalah Daftar Pemilih Induk (DPI) 2013 dan digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Pertama Tahun 2014 yang telah dikemas kini se-hingga 20 Ogos 2014.
Katanya proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertan-ding pada PRK berkenaan.
“Pemerhati tempatan yang terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan dan ahli akademik yang dilantik oleh SPR juga dibenar menjadi pemerhati pada proses pengundian awal itu dengan kebenaran daripada polis,” kata Abdul Ghani.
Katanya kertas-kertas undi itu tidak akan dikira di Saluran atau Tempat Mengundi sebaliknya akan disimpan di tempat selamat seperti dalam lokap polis.
“Kertas undi itu hanya akan dikira pada hari pengundian. Pengiraan kertas undi akan dijalankan secara berkelompok di tempat-tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR dan urusan pengiraan undi disaksikan oleh ejen calon masing-ma-sing,” katanya. — Bernama