Anda di sini

Majlis angkat sumpah MB Selangor baharu 23 Sept

Advertisement

SHAH ALAM: Istana Se­langor mengesahkan Majlis Angkat Sumpah Menteri Besar Selangor yang baharu akan diadakan pada Selasa ini di Istana Alam Shah, Klang dekat sini.

Setiausaha Sulit Sultan Se­langor Datuk Mohamad Mu­nir Bani ketika dihubungi Ber­nama bagaimanapun enggan mendedahkan nama menteri besar yang baharu itu.

Beliau berkata perkara itu hanya akan diketahui pada hari mengangkat sumpah berkenaan.

Bernama difahamkan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa Mo­hamad Azmin Ali adalah calon yang bakal mengangkat sumpah jawatan tertinggi pentadbiran negeri Selangor itu.

Namun, ketika diminta mengulas perkara itu, Moha­mad Munir enggan mengesa­hkannya.

Pada 26 Ogos lepas, Sultan Selangor bertitah supaya parti dalam Pakatan Rakyat iaitu DAP, PKR dan PAS menge­mukakan lebih daripada dua nama sebagai calon menteri besar yang baharu.

Baginda bertitah demikian selepas menangguhkan untuk menerima peletakan jawatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar sehing­ga proses pelantikan menteri besar baharu selesai.

PKR dan DAP bagaimana­pun kekal dengan keputusan mereka mahukan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal menteri besar yang baharu.

Tindakan kedua-dua parti berkenaan menyebabkan Sul­tan Selangor amat dukacita.

Susulan kemurkaan bag­inda itu, PKR dan DAP baru-baru ini menyerahkan sepucuk surat kepada Istana Selangor.

Selain menghantar surat kedua yang tidak diketahui kandungannya itu, pada hari yang sama kedua-dua parti tersebut mengeluarkan kenyataan memohon ampun secara terbuka kepada Sultan Selangor.

Walaupun memohon am­pun kepada Sultan Sharafud­din, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng tetap memper­tahankan tindakan kedua-dua parti itu berhubung calon mereka bagi jawatan Menteri Besar Selangor.

Krisis politik Selangor tercetus selepas ‘Langkah Ka­jang’ yang dimulakan Penga­rah Strategi PKR Rafizi Ramli pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang Mac lepas yang bertujuan menjadikan Ketua Umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai menteri besar Selangor yang baharu.

Bagaimanapun, hasrat An­war terbantut selepas gagal menjadi calon kerusi DUN Kajang apabila mahkamah mendapati beliau bersalah atas pertuduhan liwatnya, lalu isterinya yang juga Presiden PKR bertanding dan meme­nangi kerusi DUN itu.

Pada 9 Ogos lepas, PKR memecat Abdul Khalid dari­pada parti itu dan merancang untuk mengangkat Wan Azizah sebagai menteri be­sar Selangor yang baharu. — Bernama

Advertisement