Anda di sini

Acara ‘Street Party’ tarik 10,000 pengunjung

Advertisement

Oleh Clare Cinderella

UNTUKMU: Lai (kiri) menyampaikan cenderamata kenangan kepada Jabu sambil disaksikan tetamu kehormat yang lain.

 

ACARA ‘Street Party’ menjelang detik sambutan Hari Malaysia yang diadakan di Jalan Pos di sini malam kelmarin berlangsung dengan cukup meriah meskipun secara sederhana.

Malah, acara tersebut berjaya menarik hampir 10,000 pengunjung dalam dan luar Miri termasuk pelancong asing yang memenuhi lorong dan jalan-jalan di sepanjang Jalan Pos.

Acara tersebut yang dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Miri (MBM), Imperial Group of Companies dan Kelab Sukan dan Rekreasi Shin Yang, dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang yang mewakili Ketua Menteri.

Ia diikuti dengan persembahan oleh Universo Robot, yang dibawa khas dari Sepanyol, iaitu persembahan julung kali seumpamanya pernah ditampilkan kepada penonton di sini.

BERTENAGA: Persembahan bertenaga daripada salah satu kumpulan yang hadir membuat persembahan pada malam itu.

Walaupun tanpa Zee Avi dan Hafiz, seperti mana perancangan awal, namun acara tetap berlangsung meriah dengan orang ramai dihiburkan dengan persembahan oleh Barbie Girls dari Korea, Chloe Chan dan Christine Chua, iaitu bakat yang dicungkil oleh Astro serta artis Akademi Fantasia, Nadia.

‘Street Party’ menjelang detik sambutan Hari Malaysia ini juga turut diacarakan oleh juruhebah popular Hitz.FM Sarawak, Kiyioshi di samping penampilan istimewa ‘disc-jockey’ (DJ) antarabangsa, Ominia dan DJ popular KL dan Hitz.FM, Jakeman & The Skeletor.

Persembahan malam kelmarin turut diserikan dengan kumpulan Finger Basket, Redemption, Super Girl dan Lil Eyes.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Menteri Muda Komunikasi merangkap Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin, ADUN Telang Usan Dennis Ngau, kedua-dua Ahli Dewan Negara iaitu Senator Datuk Lihan Jok dan Senator Datuk Doris Brodie serta Datuk Bandar Miri, Lawrence Lai.

Selain ‘Street Party,’ turut dilancarkan malam kelmarin ialah pameran bergambar Hari Malaysia yang diadakan di lobi kompleks beli-belah Imperial Permaisuri Mall di sini.

Ekspo bergambar itu turut dirasmikan pembukaannya oleh Jabu malam kelmarin.

MEMUKAU: Persembahan yang berjaya memukau para penonton pada malam tersebut.

Advertisement