Anda di sini

‘Sarawak Cergas Fun Run’ ceriakan Hari Kemerdekaan di Betong

Advertisement

BERMULA: Para peserta memulakan larian ‘Sarawak Cergas Fun Run’ di Betong baru-baru ini.

ACARA ‘Sarawak Cergas Fun Run’ bersempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-57 yang disertai lebih 500 peserta di Betong baru-baru ini, berjaya mencapai objektif penganjurannya.

Program pada 31 Ogos yang lalu ini dianjur oleh Jawatankuasa sambutan Hari Kemerdekaan Bahagian Betong 2014.

Sarawak Cergas Fun Run memuatkan pelbagai acara yang melibatkan kategori terbuka, berkumpulan, berkeluarga, ketua jabatan, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Bagi kategori terbuka lelaki yang mengharungi larian sejauh 8km, juara telah dirangkul oleh Alby Mustapha Alba dari SMK Spaoh, manakala naib juara disandang oleh Andy Maling Duka dari SMK Ulu Layar dan tempat ketiga dimenangi oleh Faizatul Izwan dari SMK Spaoh.

Bagi kategori wanita yang juga berlari sejauh 8km, peserta dari IPG Kampus Rajang Vallerie Jirum telah meraih juara, manakala Seni Isa dari SMK Saratok dan Olivia Monica dari SMK Ulu Layar masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Hadiah-hadiah bagi kategori terbuka berupa wang tunai RM700 berserta piala, medal dan sijil penyertaan bagi juara dan wang tunai RM500 berserta piala, medal dan sijil untuk naib juara, manakala RM300 berserta piala, medal dan sijil untuk tempat ketiga.

Para pemenang keempat hingga ke-10 pula masing-masing menerima hadiah wang tunai RM50 dan medal.

Bagi kategori berkumpulan untuk Jabatan Kerajaan/ Swasta/IPTA/ IPTS/ Sekolah/ NGO, peserta dari Jabatan Pertanian Betong telah menjuarai kategori tersebut manakala Pejabat Pendidikan Daerah Betong menduduki tempat naib juara dan MARDI di tempat ketiga.

Seterusnya untuk kategori berkeluarga, juara dimenangi oleh keluarga Hot Kambri manakala naib juara dan ketiga masing-masing menjadi milik Mohd Zulfika dan Nabil.

Kategori warga emas dan OKU pula dimenangi oleh Adelene Mingga Kasa, 61, yang telah menamatkan larian sejauh 1km.

Sementara itu, pertandingan nyanyian patriotik turut menyerikan ‘Sarawak Cergas Fun Run’ dan tempat pertama telah dimenangi oleh Mohamad Junaidi, manakala naib johan dirangkul oleh Abdul Aziz dan tempat ketiga dimenangi oleh Siti Penjoo.

Hadiah Khas Hiasan Bendera Menarik pula telah dimenangi Musa Joni.

Kesemua hadiah yang dimenangi para peserta berupa barangan elektrik dan sukan kecuali untuk acara terbuka lelaki dan wanita.

Hadiah-hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh Timbalan Residen Sosial Bahagian Betong Galong Luang dan tetamu khas lain yang hadir pada program tersebut.

Advertisement