Anda di sini

Kes denggi di Kelantan menurun hasil kerja kuat Jabatan Kesihatan

Advertisement

TUMPAT: Kes demam denggi di Kelantan kini menurun kepada 720 kes berbanding 971 kes tiga minggu lepas, hasil kerja kuat Jabatan Kesihatan dengan kerjasama semua pihak terutama penduduk.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata sebelum ini Kelantan mencatat 11,000 kes dan menduduki tempat kedua di belakang Selangor (30,000 kes) sejak 28 Julai lepas.

“Jumlah itu disebabkan Kelantan tidak mempunyai sistem perparitan yang sempurna menyebabkan sampah sarap mudah tersangkut dan mengundang nyamuk aedes membiak di kawasan air bertakung,” katanya kepada pemberita selepas menutup Program Jom Ganyang Aedes di Kampung Simpangan di sini semalam.

Hadir sama Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Ahmad Razin Ahmad Maher, calon Barisan Nasional bagi pilihan raya kecil Pengkalan Kubor, Mat Razi Mat Ail dan kira-kira 300 penduduk yang turut bergotong-royong membersih kawasan persekitaran di kampung berkenaan.

Beliau berkata ekoran kes yang terlalu banyak, banyak pesakit tidak dapat ditempatkan di wad hospital kerajaan terutama Hospital Raja Perempuan Zainab II kerana katil yang penuh.

Sehubungan itu, Dr Hilmi berkata kementeriannya bercadang untuk menambah wad dan menaik taraf hospital daerah terutama Hospital Tanah Merah bagi menampung jumlah pesakit luar jangkaan.

Tahun ini kementerian itu menerima peruntukan RM22 bilion daripada kerajaan pusat termasuk bagi tujuan pembangunan dan pengurusan, katanya. — Bernama

Advertisement