Anda di sini

Kerajaan iktiraf peranan belia kepada negara: KSU

Advertisement

MELAKA: Peranan belia di negara ini sentiasa mendapat pengiktirafan kerajaan.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Jamil Salleh berkata mereka bukan sahaja penting dari segi komposisi dan penyertaan dalam populasi nasional, tetapi juga dari aspek ekonomi, pendidikan, sosial dan politik.

“Dari segi ekonomi, golongan belia mewakili lebih 50 peratus populasi produktif atau golongan yang bekerja di negara ini baik dari sektor awam atau swasta.

“Dari segi politik, idea dan suara generasi muda diperlukan untuk melonjak pembangunan dan keseimbangan dalam menstabilkan struktur pentadbiran negara,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Belia Aspirasi Negara Menuju Wawasan 2020 anjuran Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia, di sini semalam.

Sebanyak 1,000 peserta mewakili pelajar pusat pengajian tinggi awam dan swasta serta pertubuhan belia menyertai konvensyen sehari itu.

Jamil meminta golongan belia untuk memanfaat peluang yang telah disediakan kerajaan dengan menyertai pelbagai aktiviti dan program dalam menyalurkan pandangan serta sumbangan masing-masing.

“Pastikan jangan dirosakkan negara dengan demonstrasi jalanan, mempertikaikan perkara atau apa yang telah termaktub dalam perlembagaan serta membangkitkan persepsi negatif dengan memburukkan negara dan pemimpin tanpa berpandukan asas yang kukuh,” katanya. — Bernama

Advertisement