Anda di sini

Uzbekistan contohi Malaysia laksana undian awal dalam pilihan raya

Advertisement

KUALA LUMPUR: Uzbekistan yang akan mengadakan pemilihan Parlimennya Disember ini akan memperkenalkan sistem pengundian awal yang dipelajari dari Malaysia untuk pemilih di sana, kata Kuasa Usaha di Kedutaan Uzbekistan di sini, Abror Fatkhullaev.

Beliau berkata beberapa pindaan telah diperkenalkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat (CEC) negara itu dalam usahanya menambah baik mekanisma perundangan bagi memastikan keterbukaan dan ketelusan semasa pilihan raya.

“Untuk pilihan raya kali ini, ia adalah kali pertama kami melaksanakan pengundian awal sebagaimana kami telah pelajari daripada pilihan raya umum Malaysia tahun lepas,” katanya dalam satu wawancara dengan Bernama sempena Ulang Tahun Kemerdekaan Uzbekistan yang ke-23.

Sistem baharu lain yang akan diperkenalkan dalam pilihan raya kali ini ialah mewujudkan pusat mengundi di tempat tahanan dan perubahan ini diharap dapat menjadikan Uzbekistan sebuah negara yang lebih baik.

Pilihan raya Parlimen Uzbekistan dijadualkan pada 21 Disember ini.

Fatkhullaev berkata seperti pilihan raya parlimen pada 2009, pemerhati daripada institusi antarabangsa dan negara luar akan dijemput untuk memantau pilihan raya itu.

Menyentuh hubungan dua hala Malaysia-Uzbekistan, beliau berkata kedua-dua negara telah berkongsi hubungan diplomatik yang cemerlang selama 22 tahun.

“Kami gembira dengan kerjasama semasa setakat ini, terutamanya dengan lawatan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam bulai Mei yang kedua-dua pemimpin dari kedua-dua negara berbincang dan menetapkan perspektif baharu dalam perhubungan itu,” katanya.

Beliau berharap selepas pilihan raya itu, hubungan dua hala akan lebih rapat dengan peningkatan kerjasama dalam perdagangan, pelaburan, pendidikan dan pelancongan.

Ditanya mengenai peratusan keluar mengundi yang tinggi dalam pilihan raya 2009, Fatkhullaev berkata ia satu petunjuk bahawa rakyat Uzbekistan berpuas hati dengan dasar kerajaan sekarang.

Beliau berkata Uzbekistan mengamalkan dasar “yang sangat mesra rakyat” dan setiap tahun kerajaan mendedikasikan satu tema khas seperti “kesihatan” sebagai contoh dengan program dan isu mengenai kesihatan akan diteliti dan diselesaikan oleh kerajaan.

“Ini sebenarnya telah membuatkan rakyat kami gembira,” kata Fatkhullaev.

Pada 2009, CEC Uzbekistan melaporkan hampir 91 peratus daripada 17 juta pengundi keluar mengundi pada pilihan raya tahun itu. — Bernama

Advertisement