Anda di sini

Kemampuan jalur lebar negara capai lebih 67 peratus: Najib

Advertisement

SAKSI: Najib menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara Khalid (dua kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Abdul Mutalib Alias (kiri) selepas perasmian Inisiatif Pemerkasaan Komunikasi Langkawi dan Karnival Jalur Lebar 1Malaysia di Dewan Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di Langkawi, semalam. Turut kelihatan Nor Sabrina. — Gambar Bernama

Pembangunan, kemudahan telekomunikasi sesebuah negara berkaitan

LANGKAWI: Usaha kerajaan untuk memperluaskan kemampuan jalur lebar negara membuahkan hasil yang amat positif apabila kadar penembusannya kini adalah lebih 67 peratus, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata pada 2009, kadar penembusan jalur lebar di Malaysia adalah 31.7 peratus dan angka terbaharu bagi tahun ini sebanyak 67.1 peratus.

“Hanya 7.9 peratus lagi untuk sampai 75 peratus sasaran menjelang 2015,” katanya ketika merasmikan Inisiatif Pemerkasaan Komunikasi Langkawi dan Karnival Jalur Lebar 1Malaysia di Mahsuri International Exhibition Centre (MIEC) di sini, semalam.

Najib menjelaskan pembangunan sesebuah negara dan kemudahan telekomunikasi saling berkaitan dan kadar penembusan jalur lebar di Malaysia kini meningkat berkali ganda.

“Perkaitan antara pembangunan dan telekomunikasi adalah seperti enjin dan jentera. Pembangunan membawa kita ke destinasi seperti jentera manakala teknologi memacu pembangunan negara seperti enjin.

“Kalau enjin berupaya tinggi, maka cepatlah sampai ke destinasi, kaitan ini bukan halusinasi,” kata perdana menteri.

Najib berkata banyak kajian dan laporan termasuk yang diterbitkan oleh kesatuan teknologi antarabangsa menyatakan pelaburan untuk membangunkan infrastruktur dapat meningkatkan produktiviti dan memacu pembangunan.

Menurutnya infrastruktur telekomunikasi yang baik juga mencetuskan transformasi, meningkatkan kebolehan rakyat, menjana inovasi, melancarkan urusan dan meluaskan kerjasama.

“Sebanyak 10 peratus kadar penembusan jalur lebar didapati meningkatkan efisiensi sebanyak 3.6 peratus dan peningkatan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) sebanyak 1.2 peratus,” kata perdana menteri.

Mengenai  pembangunan jalur lebar di Langkawi, beliau berkata menjelang 2015, penduduk serta pelancong pulau ini akan menikmati perkhidmatan jalur lebar lebih baik dengan kadar penembusan sebanyak 97 peratus liputan 3G berbanding 70 peratus sebelum ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata pembangunan jalur lebar adalah pelaburan strategik khusus bagi meningkatkan kemudahan telekomunikasi Langkawi yang dijangka menelan belanja sebanyak RM300 juta.

Beliau berkata pelaburan itu termasuk membina tiga Pusat Internet 1Malaysia, 260 hotspot WiFi 1Malaysia, 10 menara telekomunikasi baharu, dua ibu sawat Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB), 80 kilometer lingkaran kabel gentian optik, tambahan kabel dasar laut dari Kuala Perlis ke Langkawi serta peningkatan 2G kepada 3G bagi tempoh 2014-2015.

“Tiga Pusat Internet 1Malaysia akan dibina di Kampung Padang Wahid, Padang Lalang dan Taman Delima yang akan melatih penduduk Langkawi menggunakan jalur lebar dengan bijak dan bermanfaat,” katanya.

Difahamkan, pemerkasaan perkhidmatan komunikasi itu juga bertepatan dengan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN 2015 yang bakal diadakan pada 20 hingga 22 April 2015 di pulau pelancongan ini.

Peningkatan pelancong setiap tahun juga  faktor utama sistem telekomunikasi Langkawi perlu dinaik taraf supaya seiring dengan keperluan pengguna yang kian meningkat selaras dengan Blueprint Pelancongan Langkawi bagi tempoh 2011-2015.

Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi Negeri Kedah Noor Sabrina Mohd Noor, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BBNBC) Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) Tan Sr Khalid Ramli. — Bernama

Advertisement