Anda di sini

Yayasan YTS, perjuangan amal yang diiktiraf

Advertisement

MIRI: Yayasan Yaw Teck Seng (Yayasan YTS) yang ditubuh Tan Sri Datuk Yaw Teck Seng sempena sambutan hari jadinya yang ke-70 pada 2008, antara yayasan yang banyak menyumbang kepada institusi kemasyarakatan dan alam sekitar di negara ini.

Walaupun baharu berusia enam tahun namun Yayasan YTS dalam diam banyak membantu kerajaan memberi sumbangan, khususnya menghulur bantuan kewangan dalam bidang pendidikan negara, alam sekitar serta memenuhi keperluan rakyat terutama golongan miskin serta kurang berkemampuan.

Ditubuhkan pada 25 Ogos 2008, Yayasan YTS merupakan sebuah badan amal dan pertubuhan bukan mencari keuntungan yang mempunyai ahli lembaga pengurusan terhad dan tanpa sebarang perkongsian modal atau saham.

Malah pendapatan utama bagi Yayasan YTS diperoleh daripada sumbangan serta derma organisasi termasuk syarikat korporat yang prihatin.

Keutamaan Yayasan YTS adalah menerima dan mengurus dana dan sumber kewangan bagi tujuan pendidikan, kegiatan amal dan alam sekitar di negara ini.

Tiga matlamat dan misi khusus Yasayan YTS ditubuhkan ialah:

I. Menyedia tabung atau dana, geran, bantuan kewangan dan sokongan untuk penubuhan, pembesaran dan baik pulih sekolah, universiti dan institusi pendidikan lain di Malaysia.

Ia turut memberi anugerah biasiswa, pinjaman pendidikan, geran penyelidikan dan pelbagai bentuk bantuan kewangan untuk sekolah, universiti atau institusi pendidikan bagi membantu penuntut Malaysia yang kurang mampu.

II. Bagi menyedia bantuan kewangan kepada rakyat Malaysia yang memerlukan, rawatan pencegahan awam terhadap wabak atau penyakit mengancam nyawa turut disediakan melalui akses kepada kemudahan perubatan.

Yayasan YTS turut membantu mereka yang sudah dijangkiti wabak atau penyakit yang membawa maut mendapatkan keperluan rawatan menyelamatkan nyawa mereka.

III. Ia turut membiayai pemuliharaan, penyelidikan, pembangunan, perlindungan, usaha meningkat dan sokongan terhadap sumber alam semula jadi dalam usaha mempromosi kesedaran awam terhadap pentingnya perlindungan, pemuliharaan dan pengurusan alam sekitar.

Sementara itu, Yaw yang merupakan salah seorang tokoh usahawan terkemuka negara, pengasas kepada Kumpulan Syarikat Samling, antara syarikat perniagaan tersohor negara yang terbabit dalam pembalakan, perladangan, hartanah dan sebagainya.

Atas sumbangannya kepada pembangunan ekonomi negara dan negeri ini juga, beliau dikurnia Pingat Panglima Gemilang Bintang Kenyalang yang membawa gelaran Datuk daripada bekas Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Ahmad Zaidi Adruce pada 16 September 1990.

Pada 27 Oktober 2010, beliau kemudian menerima Pingat Panglima Setia Mahkota membawa gelaran Tan Sri daripada DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Advertisement