KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa memulakan rundingan dengan parti politik dan masyarakat awam bagi memastikan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya dapat dilakukan dengan lebih telus.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang See Chee How berkata, rundingan sememangnya tidak dapat dielakkan kerana perkara itu telah mewujudkan banyak kontroversi.
Malah jelasnya, ramai pihak turut meragui sama ada keputusan SPR itu hanya akan memberi manfaat kepada pihak tertentu sahaja.
“Perundingan tidak dapat dielakkan kerana proses SPR melaksanakan tugas ini (persempadanan semula) adalah sama seperti operasi kotak hitam.
“Kekurangan ketelusan mungkin berlaku, jadi saya ingin mendesak SPR untuk memulakan beberapa proses perundingan.
“Mungkin mereka boleh mulakan dengan berjumpa parti politik dan masyarakat awam seperti kumpulan yang prihatin dan ingin mengambil bahagian seperti BERSIH untuk memastikan bahawa keseluruhan proses itu dilakukan secara telus,” katanya pada sidang akhbar di sini baru-baru ini.
See yang juga timbalan pengerusi PKR Negeri menegaskan, rundingan dan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Parlimen perlu dalam menyelia proses persempadanan semula ini bukanlah sesuatu yang hanya berlaku sebelum ini, kerana ia diamalkan di mana-mana di dunia.
“Di United Kingdom, proses mereka adalah lebih baik kerana terdapatnya Suruhanjaya Sempadan England, dengan keahlian daripada pihak yang berbeza dan masyarakat awam yang akan mengesyorkan kepada SPR mereka bagaimana persempadanan perlu dilakukan.
“Saya berpendapat proses seperti itu lebih baik dan kita boleh mempunyai kumpulan berbeza yang dapat mengkaji aspek berlainan tentang bagaimana kita dapat menggambarkan semula kawasan pilihan raya,” jelasnya.
See berkata terdapat juga kebimbangan sekiranya aktiviti persempadanan semula dibiarkan kepada SPR sahaja, mereka akan berkemungkinan besar ‘mengikut telunjuk UMNO’ bagi menghasilkan lebih banyak kerusi baharu di Semenanjung Malaysia berbanding Sarawak dan Sabah (menentang Perjanjian Malaysia).
Beliau berkata pada masa ini, Sarawak dan Sabah masing-masing hanya mempunyai satu perempat daripada kerusi di Parlimen manakala tiga suku lain tempat duduk adalah di Semenanjung Malaysia yang hanya sebesar Sarawak.
“Sarawak dan Sabah adalah lebih besar tetapi mereka hanya mempunyai satu perempat daripada suara-suara di Parlimen dan ia merupakan satu perbezaan yang perlu ditangani,” ujarnya.
Seperti yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan, See berkata perkara terbaik ialah cuba memberikan wajaran dalam erti kata setiap bahagian pilihan raya di negeri yang mempunyai jumlah yang sama pengundi.
“Di Sarawak, kita boleh mempunyai perbezaan yang besar antara 7,000 hingga 30,000 pengundi dan pemberat yang tidak ditangani oleh SPR selama ini,” tegasnya.
Dalam usaha memastikan proses persempadanan semula lebih telus dan terbuka, See memberitahu bahawa PKR Negeri akan menulis surat kepada SPR Negeri untuk meminta taklimat dan mesyuarat bersama antara pelbagai pihak untuk menangani isu-isu berkenaan.