Anda di sini

Gerak Tari Payung Mahkota meriahkan istiadat perbarisan

Advertisement

KUCHING: Pujian harus diberikan kepada penari sukarelawan Gerak Tari Payung Mahkota yang menjayakan Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena Sambutan Perayaan Hari Jadi Ke-78 Yang di-Pertua Negeri Sarawak 2014.

Tanpa kesungguhan para penari sekitar 700 orang itu semalam, acara yang berlangsung di Padang Merdeka itu semalam mungkin tidak semeriah seperti yang disaksikan oleh ribuan masyarakat yang membanjiri sekitar lokasi acara tersebut.

Meskipun penat berlatih selama seminggu namun bagi para penari yang terlibat dalam acara itu semalam, ia merupakan pengalaman manis yang tidak akan dilupakan sepanjang kehidupan mereka.

Anding Khoca Senys, Gina Maio, Lavenia Damian, Arnold Ronstance dan Eric Jawa, merupakan antara pelajar Politeknik Kuching yang terlibat sebagai penari sukarelawan bagi Gerak Tari Payung Mahkota.

Kelima-lima mereka yang ditemui selepas berakhirnya istiadat itu semalam berkongsi kegembiraan kerana berpeluang menyertai kumpulan penari Gerak Tari Payung Mahkota sempena Sambutan Perayaan Hari Jadi TYT buat pertama kalinya.

“Ini merupakan kali pertama saya menyertai istiadat seperti ini sebagai penari sukarelawan dan ia merupakan pengalaman yang amat menyeronokkan bagi saya dan rakanrakan lain yang turut menjayakan Gerak Tari Payung Mahkota.

“Meskipun penat kerana perlu menghadiri latihan selama seminggu bermula seawal jam 7.00 pagi hingga 12.00 tengah hari di Padang Merdeka ini namun rasa penat itu hilang ketika hari persembahan tiba,” kata Arnold.

Selain pelajar dari Politeknik, Kuching, Gerak Tari Payung Mahkota yang dipersembahkan semalam turut dijayakan oleh ratusan lagi penari kebudayaan yang lain daripada pelbagai organisasi.

Malah rata-rata penari yang ditemui semalam turut menyimpan hasrat untuk menyertai semula kumpulan gerak tari seperti ini pada penganjuran akan datang istiadat-istiadat kebesaran yang lain.

 

Advertisement