Anda di sini

Bukan mudah dipilih sebagai penerima pingat Darjah Kebesaran Negeri: Ling

Advertisement

KUCHING: Bukan mudah untuk dipilih sebagai penerima pingat Darjah Kebesaran Negeri sempena Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri (TYT) Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Perkara itu diluahkan antara penerima Darjah Kebesaran Negeri, pingat Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (PGBK) yang membawa gelaran Datuk, Ling Suk Kiong.

Timbalan pengerusi eksekutif Dayang Enterprise Holding itu berkata, untuk dipilih sebagai penerima pingat PGBK ia memerlukan kegigihan dan kerja kuat dalam bersama-sama membantu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan Sarawak.

“Di Sarawak untuk mendapatkan gelaran Datuk, pingat PGBK bukanlah sesuatu yang mudah tanpa adanya usaha gigih dan kerja kuat dalam menyumbang kepada masyarakat dan negeri.

“Bercakap tentang Darjah Kebesaran Negeri dianugerahkan oleh TYT adalah mudah namun mendapatkannya saya fikir tidak sebegitu mudah,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri di Lapau Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam.

Ling, antara 12 penerima Darjah Kebesaran Negeri turut memberitahu bahawa beliau sudah lebih 40 tahun bekerja keras bermula dari sebuah syarikat kecil hinggalah syarikatnya tersenarai dalam Bursa Malaysia pada 2008.

“Dalam senarai kedudukan syarikat, kami berada di tempat kedua bagi sektor swasta selepas syarikat berkaitan kerajaan tetapi untuk syarikat swasta kami adalah nombor satu dengan permodalan pasaran kami sekitar RM3 bilion,” jelasnya.

Malah, beliau memberitahu bahawa sepanjang wujudnya syarikat itu pihaknya telah banyak menyumbang kepada masyarakat khususnya di Miri.

“Syarikat kami adalah berkaitan minyak dan gas yang mempunyai 4,000 pekerja dan ini adalah hasil usaha yang gigih,” tambahnya.

Menurut Ling lagi, beliau telah menyerahkan permohonan sebagai penerima pingat itu kepada setiausaha kerajaan negeri sebelum ia dibawa ke peringkat tinggi lagi untuk penilaian sama ada layak atau sebaliknya.

“Jadi untuk mendapatkannya tiada jalan singkat, ia sememangnya memerlukan kerja keras dan sumbangan saya sendiri kepada rakyat dan Sarawak.

“Justeru, saya amat gembira hari ini pada usia 69 tahun saya mendapat pingat PGBK ini,” ujarnya yang hadir ditemani isterinya Wong Siew Hong.

 

Advertisement