SIBU: Pengerusi Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Sibu Alice Jawan Empaling menjadi wanita Iban pertama di lembah Batang Rajang mendapat pingat Panglima Setia Bintang Sarawak (PSBS) yang membawa gelaran Dato pada penganugerahan pingat Darjah Kebesaran Negeri sempena Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud Ke-78, semalam.
Beliau merupakan penerima PSBS pertama yang diberi kepada wanita Iban di sini yang bukan terlibat dalam arena politik di negeri ini.
Dalam pada itu, Alice melahirkan rasa bangga dan terharu dengan pengiktirafan yang diberikan oleh kerajaan negeri serta menyifatkannya sebagai satu penghormatan terbesar kepada Dayak, khasnya Iban di kawasan hilir Batang Rajang.
“Anugerah atau pingat ini (PSBS) adalah satu pengiktirafan yang tinggi buat wanita Iban di Sibu.
“Saya ingin berkongsi PSBS ini adalah untuk semua kaum Dayak khususnya Iban di Sibu lebih-lebih lagi kepada kaum wanita.
“Ini adalah kejayaan semua mewakili kaum Dayak di sini kerana tanggungjawab kita bersama memfokuskan pembangunan bangsa dan negeri Sarawak,” katanya di sini semalam.
Beliau turut berkongsi anugerah pingat itu dengan semua penganut Kristian Methodist atas sumbangannya yang turut terlibat secara langsung dalam pembangunan wanita-wanita Methodist di negara ini.
Alice, 50, adalah anak jati berasal dari Sungai Assan, Sibu dan mempunyai seorang cahaya mata (perempuan).
Selain menjadi pengerusi SIDS Sibu dan ahli Jawatankuasa Eksekutif SIDS Pusat, beliau juga merupakan presiden Persidangan Agung Wanita Methodist (GCMW) Malaysia.
Bertugas sebagai timbalan pengurus besar Lembaga Air Sibu, beliau turut mempunyai kepakaran dalam bidang air antarabangsa dan pernah diundang menjadi penceramah untuk persidangan air antarabangsa di luar negara.
Beliau mempunyai kelayakan akademik Bachelor Of Science (Civil Engineering) di University Of Tennessee-Knoxville, USA dan Executive Master Of Business Administration-Ohio University, Ohio, USA.
Sementara itu, Alice merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan negeri yang mengiktiraf sumbangannya dalam penglibatan sosial dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Beliau juga berharap dengan pengiktirafan yang diterimanya akan menjadi satu semangat baharu untuknya terus menyumbang pembangunan kepada kaum Dayak di sini dan GCMW.
Alice merupakan wanita aktif dalam NGO dan banyak memberi sumbangan dan kesan terhadap pembangunan wanita Dayak di sini dan begitu juga dengan wanita-wanita GCMW di negara ini.