Anda di sini

Satelit MEASAT-3b berjaya dilancar

Advertisement

KOUROU (French Guiana): Satelit terbaharu Malaysia MEASAT-3b berjaya dilancarkan di Pusat Angkasa Lepas Eropah di sini pada jam 7.05 malam, waktu tempatan, Khamis (jam 6.05 pagi waktu Malaysia, Jumaat).

Satelit komunikasi bernilai AS$350 juta (RM1.12 bilion) itu dilancarkan dalam cuaca panas tropika bertujuan untuk meningkatkan kapasiti satelit Measat Satellite System Sdn Bhd.

Pelancaran itu turut disaksikan sekumpulan pegawai kanan kerajaan Malaysia dan sektor swasta termasuk rakan perniagaan utama Measat Global Berhad (MEASAT) serta empat pelajar sekolah Menengah dari Terengganu.

Dengan pelancaran ini, MEASAT kini mempunyai enam satelit di orbit.

Perbezaan waktu antara French Guiana dan Malaysia adalah 11 jam.

MEASAT-3b akan beroperasi sepenuhnya pada 15 Okt, adalah satelit MEASAT ketiga yang dilancarkan penyedia perkhidmatan pelancaran satelit, Arianspace berikutan pelancaran MEASAT-1 dan MEASAT-2 pada 1996.

Dibangunkan oleh pembuat satelit Airbus Defence and Space di Toulouse, Perancis, MEASAT-3b mempunyai jangka hayat kira-kira 15 tahun.

Satelit ini mempunyai 48 transponder, dengan setiap satu lebar jalurnya berkapasiti 36 megahertz (Mhz) sekali gus menjadikan keupayaan satelit Ku-band kepada 84 transponder daripada 36 sekarang.

Ia akan melebarkan usaha MEASAT dalam perkhidmatan satelit penyiaran dan telekomunikasi di Malaysia, Indonesia, Australia dan Asia Selatan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari yang mengetuai sekumpulan 85 orang menyaksikan pelancaran itu, berkata kejayaan pelancaran MEASAT-3b satu lagi peristiwa penting dalam pembangunan sistem satelit Malaysia.

Jailani menyifatkan kejayaan pelancaran itu sebagai pendorong kepada industri kreatif Malaysia.

Menurut beliau Malaysia dan rantau Asia Pasifik yang lebih luas akan mendapat manfaat daripada usaha itu.

Katanya, MEASAT bersama inisiatif berterusan kerajaan menerusi Projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi, akan menyediakan kemudahan kepada rakyat dalam mempertingkat hubungan dan liputan.

Jailani berkata sektor lain juga akan berupaya meningkatkan mutu perkhidmatan dan mengurangkan kos, terutama dalam bidang pendidikan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan kerajaan.

Pelancaran satelit MEASAT-3b seberat 5,897kg itu yang hanya mengambil masa 48 minit untuk tiba di orbit, turut disiarkan secara langsung dan disaksikan 400 pelajar sekolah menengah di Pusat Sains Negara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Duta Besar Perancis di Malaysia Martine Dorance turut menyaksikan majlis pelancaran itu.

Sementara itu di Kourou, Duta Besar Malaysia di Perancis Tan Sri Ismail Omar, Pengerusi MEASAT Datuk Umar Abu dan Ketua Pegawai Eksekutif MEASAT Paul Brown-Kenyon antara yang hadir menyaksikan pelancaran itu.

Brown berkata sebaik beroperasi, MEASAT-3b akan menjadi penyumbang utama kepada landskap televisyen berbayar Asia, menyokong platform televisyen terus ke rumah (DTH), yang memenuhi keperluan lebih 18 juta isi rumah.

Beliau berkata transponder 48 Ku-band berkuasa tinggi MEASAT-3b akan memperluas perkhidmatan DTH dan sistem perkhidmatan Very Small Aperture Terminal (VSAT) meliputi 2 bilion penduduk di seluruh Malaysia, India, Indonesia dan Australia.

Brown berkata syarikat akan memberi tumpuan kepada pertumbuhan berterusan melalui penambahan satelit iaitu melancarkan satu satelit dalam tempoh setahun atau dua.

“Satelit ini merupakan yang terbesar dan termaju milik Malaysia setakat ini.

Ia hasil kerjasama lebih tiga tahun antara MEASAT, Airbus Defence and Space, pengeluar satelit dan Arianespace,” katanya.

Pelancaran itu juga adalah peristiwa bersejarah dan ‘mimpi yang menjadi kenyataan’ bagi Alif Aizat Mohd Noor, Muhammad Syahmi Samsuddin, Ahmad Faiz Zolkepli dan Amir Asyraf Che Adnan.

Mereka merupakan pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud Kuala Terengganu, dipilih MEASAT bagi merasai pengalaman sekali seumur hidup, selepas memenangi pertandingan teknologi Tekanan Roket Air yang dianjurkan syarikat itu, pada 26 April. — Bernama

Advertisement