Anda di sini

Perjanjian Utama penstrukturan industri air Selangor dimeterai

Advertisement

KERJASAMA: Ongkili dan Abdul Khalid menyaksikan majlis pertukaran perjanjian antara Mohd Irwan Serigar dan Muhammad Khusrin (kanan) pada majlis permeteraian perjanjian memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di Putrajaya semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Selangor semalam memeterai Perjanjian Utama bagi memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Dengan termeterainya perjanjian utama itu, Air Selangor Sdn Bhd, sebuah entiti baharu akan mengambil alih operasi dan penyelenggaraan loji rawatan air serta perkhidmatan pembekalan air yang sebelum ini dilakukan empat syarikat konsesi.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah yang mewakili kerajaan persekutuan, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Mohammed Khusrin Munawi yang mewakili kerajaan Selangor manakala Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Suhaimi Kamaralzaman.

Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah anggota kabinet persekutuan termasuk Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, empat exco kerajaan negeri Selangor serta pegawai kanan persekutuan dan kerajaan negeri Selangor.

Dengan termeterainya perjanjian utama itu, Ongkili berkata kerajaan persekutuan yakin satu transformasi menyeluruh dapat dilaksanakan oleh Air Selangor Sdn Bhd yang akan menjadi nadi kepada perkhidmatan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi mewujudkan industri perkhidmatan air yang efisien, berdaya maju dan mampan.

“Ini akan dilakukan melalui kaedah yang dapat menjaga kepentingan semua pihak yang terlibat bagi membolehkan kerajaan negeri Selangor mencapai hasrat untuk menguruskan air secara holistik,” katanya pada majlis menandatangani Perjanjian Utama itu di Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air di sini.

Ongkili berkata kerajaan persekutuan juga komited untuk menjadi pemudah cara bagi pengambilan Syarikat Pengeluar Air Sdn Bhd (SPLASH) oleh Air Selangor Sdn Bhd.

Pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihannya (LRAL2) akan terus dipantau melalui Jawatankuasa Khas Pelaksanaan Projek LRAL2 yang dipengerusikan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan Menteri Besar Selangor, katanya.

Katanya semua pihak yang terlibat perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan persetujuan yang dicapai dapat dilaksanakan dengan lancar dengan mengetepikan perbezaan fahaman politik demi kepen-tingan dan kebajikan rakyat.

Meskipun proses itu meng-ambil masa yang panjang sehingga kira-kira 15 bulan, namun kedua-dua pihak tetap komited dan percaya bahawa pertimbangan politik harus diketepikan demi mencapai matlamat itu, katanya.

“Kami telah menggunakan setiap prinsip standard bagi ketelusan, profesionalisme dalam semua perbincangan. Saya cukup yakin prinsip-prinsip dan ketetapan, yang akhirnya dapat diharungi, seperti mana terkandung dalam perjanjian utama ini,” kata Ongkili.

Sebelum ini, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Selangor telah menandatangani dua perjanjian iaitu Memorandum Persefahaman (MoU) pada 26 Februari dan Perjanjian Mengenai Persefahaman (HoA) pada 1 Ogos lalu.

Perjanjian Utama itu me-rangkumi perkara-perkara berikut: (i) Air Selangor Sdn Bhd mengambil alih tiga buah syarikat konsesi air negeri Selangor iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS) dan pemegang lesen perkhidmatan iaitu Konsortium Air Selangor Sdn Bhd (KASB).

(ii) Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) menyedia-kan peruntukan sebanyak RM1.68 bilion bagi memudah cara pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi iaitu SYABAS, PNSB dan ABASS oleh Air Selangor Sdn Bhd selaras dengan MoU dan HoA Air Selangor. Sebagai balasan, kerajaan negeri Selangor akan memindah milik aset-aset air kepada PAAB secara pega-ngan pajakan selama 45 tahun dengan jumlah peruntukan yang sama.

(iii) PAAB akan mengambil alih liabiliti syarikat-syarikat konsesi dan pinjaman kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri Selangor, SYABAS dan PNSB yang dianggarkan berjumlah RM7.45 bilion. Sebagai balasannya, kerajaan negeri Selangor akan memindah milik aset-aset air kepada PAAB dengan jumlah yang sama secara pegangan pajakan selama 45 tahun.

(iv) PAAB akan memajak-kan aset-aset air yang telah diambil alih kepada Pengurusan Air Selangor yang akan membayar sewa pajakan kepada PAAB pada kadar yang akan dirundingkan oleh kedua-dua pihak dan dimeterai melalui Perjanjian Kemudahan dan Perjanjian Pajakan.

(v) Air Selangor Sdn Bhd akan diberikan lesen perkhidmatan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air atau WSIA (Akta 655) bagi memboleh-kannya menjalankan aktiviti merawat dan mengagih air di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

(vi) Air Selangor Sdn Bhd juga akan diberikan lesen kemudahan di bawah WSIA bagi aset-aset air Selangor yang dipindah milik kepadanya oleh kerajaan negeri Selangor.

Dengan termeterai Perjanjian Utama itu, Air Selangor Sdn Bhd yang diurus oleh sekumpulan pasukan yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dan perkhidmatan air akan memberi tumpuan kepada kerja-kerja menaik taraf saluran paip air dan menurunkan kadar air tidak berhasil (NRW) serta meningkatkan kapasiti loji-loji tersebut dengan mengguna pakai teknologi terkini.

Selain itu, semua aset air juga akan diletakkan di bawah Air Selangor Sdn Bhd dan Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihannya (LRAL 2).

Perjanjian Jual Beli Saham antara Air Selangor Sdn Bhd dan Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) iaitu pemegang 70 peratus saham Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dan 100 peratus saham Puncak Niaga Sdn Bhd akan dimeterai dalam tempoh terdekat.

Ongkili turut berterima kasih kepada semua pihak yang membantu dan memberi sokongan dalam menjayakan usaha penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air itu.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sendiri telah meminta saya menyampaikan pesanan bahawa kerajaan pusat begitu senang hati kerana kita sampai ke tahap ini dan berterima kasih kepada Abdul Khalid dan Exco kerajaan negeri Selangor yang telah memberi kepercayaan dalam usaha selesaikan pengurusan dan bekalan air,” katanya.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata Perjanjian Utama itu juga membuka lembaran baharu bagi perkhidmatan industri air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya apabila Air Selangor Sdn Bhd akan membawa perkhidmatan bekalan air ke tahap lebih profesional dan efisien.

“Saya rasa kerjasama kerajaan persekutuan dan negeri walaupun terdapat perbezaan konsep politik, kita boleh menguruskan negara ini dengan penuh kematangan untuk mencari jalan menyelesaikan masalah rakyat.

“Saya berterima kasih kepada Ongkili kerana memberikan saya kepercayaan apa yang kita lakukan adalah untuk kepentingan rakyat,” katanya. — Bernama

 

Advertisement