Anda di sini

Pemeteraian air bukti kepentingan rakyat atasi ideologi politik: Abdul Khalid

Advertisement

SHAH ALAM: Penyelesaian penstrukturan industri air di Selangor semalam memperlihatkan bahawa kepentingan rakyat mengatasi ideologi politik, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata perjanjian utama yang ditandatangani itu adalah satu kejayaan bukan sahaja kepada kerajaan negeri malah kepada seluruh rakyat Selangor dan Malaysia yang sentiasa menyokong penuh usaha mengembalikan semula hak air kepada rakyat.

Jelasnya, walaupun menerima banyak cabaran terhadap usaha serta keputusan berhubung perkara itu, namun sokongan pelbagai pihak khususnya kerajaan negeri dan persekutuan menguatkan iltizam pihaknya mencari penyelesaian muktamad.

“Dengan termeterainya perjanjian utama antara kerajaan Malaysia, kerajaan negeri Selangor, Air Selangor Sdn Bhd (ASSB) dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) maka tercapailah hasrat kerajaan negeri untuk meng-uruskan industri air seperti mana yang dihasratkan oleh Akta Industri dan Perkhidmatan Air (WSIA) 2006.

“Perjanjian jual beli saham antara ASSB dan Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) iaitu pemegang 70 peratus saham Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dan 100 peratus saham Puncak Niaga Sdn Bhd akan dimeterai dalam tempoh terdekat,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Abdul Khalid berkata perjanjian itu juga dimuktamadkan dengan kos pengambil-alihan penstrukturan semula industri air jauh lebih rendah daripada tawaran awal yang dilakukan kerajaan negeri iaitu RM7.45 bilion berban-ding RM9.65 bilion.

Kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Selangor semalam memeterai perjanjian utama bagi memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Dengan termeterainya perjanjian utama itu, ASSB, entiti yang sebelum ini dikenali sebagai Pengurusan Air Selangor, akan mengambil alih operasi dan penyelenggaraan loji rawatan air serta perkhidmatan pembekalan air yang sebelum ini dilakukan empat syarikat konsesi.

Abdul Khalid berkata perjanjian itu ibarat membuka lembaran baharu bagi perkhidmatan industri air di ketiga-tiga negeri itu apabila syarikat ASSB akan membawa perkhidmatan bekalan air ke tahap yang lebih profesional dan efisien.

“Saya yakin ASSB boleh menjayakan usaha menjadikan industri air Selangor lebih holistik dengan mengambil alih operasi dan penyelenggaraan loji rawatan air serta perkhidmatan pembekalan air yang sebelum ini dilakukan oleh empat syarikat konsesi yang berbeza, berbekalkan kepakaran dan pengalaman mereka,” katanya.

Menurut Abdul Khalid, pengurusan tidak holistik sebelum ini menyumbang kepada pengurusan air tidak cekap dan kos operasi yang membebankan pengguna melalui kenaikan tarif yang tinggi kepada lebih lima juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. — Bernama

Advertisement