Anda di sini

Pelajar tak tidur malam, bimbang terlepas pelancaran MEASAT-3b

Advertisement

KUALA LUMPUR: Bimbang tidak boleh bangun awal pagi untuk menyaksikan majllis pelancaran satelit terbaru negara, MEASAT-3b, seorang Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Sabak Bernam di Selangor, Shafizy Shafiee memilih untuk berjaga sepanjang malam.

Pelajar tingkatan lima jurusan sains tulen itu tahu beliau perlu bersiap seawal mungkin kerana tidak mahu terlepas bas yang akan membawanya ke Pusat Sains Negara, di sini bagi menyaksikan secara langsung pelancaran satelit berkenaan dari Kourou, French Guiana.

“Saya pasti terkilan jika tertinggal kerana saya antara orang terawal yang mendaftar nama untuk menyertai program itu, memandangkan hanya 40 tempat disediakan untuk pelajar tingkatan lima,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Shafizy, 17, yang baru tamat menduduki peperiksaan Matematik Tambahan sekolahnya pada jam 10.30 malam kelmarin juga memberitahu, beliau mengulang kaji pelajaran bagi menghilangkan rasa mengantuk.

“Tak apa berjaga (semalam) sebab esok (Sabtu) dah bermula cuti selama seminggu… jadi boleh qada’ (tidur) semula,” katanya menambah, beliau tidak sabar untuk berkongsi pengalaman itu dengan dua adiknya apabila pulang ke rumah di Shah Alam.

Shafizy merupakan antara 400 pelajar dari seluruh negara yang dijemput untuk menyaksikan pelancaran itu di sini, yang diadakan serentak dengan pelancaran Measat-3b di European Spaceport di Kourou, French Guiana.

Satelit terbaharu itu – merupakan yang terbesar dan paling canggih setakat ini – dilancarkan pada jam 6.05 pagi, dan mendapat tepukan gemuruh daripada mereka yang berada di Pusat Sains Negara.

Turut hadir, duta besar Perancis di Malaysia Maritine Dorance, Pengarah Pengendali satelit Measat Global Berhad (MEASAT) Tun Hanif Omar dan Pengarah Pusat Sains Negara Prof Madya Dr Irmawati Ramli.

Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor Puteri Nurhusnul Fakira Mohd Faisal, 16, memberitahu beliau mandi seawal jam 12.15 tengah malam kerana enggan berebut bilik air dengan rakan lain.

“Rasa teruja sangat nak tengok pelancaran satelit, kerana perkara ini bukan berlaku setiap tahun. Walaupun hanya di skrin besar, perasaan bangga tetap ada,” katanya.

Perasaan sama turut dirasai rakannya, Amirul Najhan Noor Hisham, 16, yang berhasrat menjadi seorang angkasawan atau jurutera roket kelak. — Bernama

Advertisement