Anda di sini

Malaysia-Azerbaijan meterai deklarasi hubungan mesra dan perkongsian

Advertisement

BAKU (Azerbaijan): Malaysia dan Azerbaijan semalam menandatangani Deklarasi Bersama bagi Hubungan Mesra dan Perkongsian, dalam usaha memperkukuhkan lagi hubungan dua hala sedia ada dan membuka laluan bagi peningkatan kerjasama ekonomi dan pelaburan.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak berkata perjanjian itu akan membantu mengeratkan lagi hubungan dan membuka lebih banyak peluang dan faedah bagi kedua-dua negara.

“Deklarasi bersama ini menandakan hasrat kami untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang tenaga, keselamatan, perdagangan dan pelaburan, pelancongan, pengangkutan, sains dan teknologi, alam sekitar, maklumat serta hak asasi manusia dan penggalakkan masyarakat sivil,” katanya dalam sidang media bersama-sama Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev selepas mesyuarat dua hala mereka di Istana Presiden di sini.

Najib, yang dalam rangka lawatan dua hari di Azerbaijan, bermula kelmarin, berkata Malaysia menikmati hubungan akrab dan mesra dengan Azerbaijan tetapi masih kurang dari segi pengisiannya.

Azerbaijan mewujudkan pejabat diplomatik di Malaysia pada Jun 2007.

Sementara Malaysia baru-baru ini mewujudkan kedutaannya di Baku pada 1 April tahun ini.

Najib berkata selepas lebih dua dekad menjalin hubungan akrab, wujud keperluan bagi kedua-dua negara menambah pengisian dalam hubungan sedia ada, terutama dalam perdagangan dan pelaburan yang dapat meningkatkan lagi hubungan antara kedua-dua negara pada semua peringkat.

Bagi tahun 2013, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Azerbaijan hanya berjumlah AS$18.3 juta. Jumlah eksport pada 2013 adalah AS$15.3 juta manakala import AS$3 juta.

“Sementara jumlah perdagangan dua hala antara kedua-dua negara kita kekal sederhana, kami berdua bersetuju bahawa terdapat potensi besar yang masih belum diterokai. Kerjasama ekonomi, bermula saat ini, akan menjadi fokus hubungan dua hala Malaysia-Azerbaijan,” katanya.

Kedua-dua pemimpin juga menyaksikan pemeteraian dokumen-dokumen antara wakil Malaysia dan Azerbaijan.

Dokumen berkenaan adalah memorandum persefahaman (MoU) dan perjanjian antara Petronas dan State Oil Company of Azerbaijan (SOCAR) yang meliputi kerjasama dalam sektor minyak dan gas dan MoU bagi kerjasama latihan diplomat. — Bernama

Advertisement