Anda di sini

Abu Zahar terima kunjungan Speaker Parlimen Persekutuan Australia

Advertisement

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang semalam menerima kunjungan hormat Speaker Parlimen Persekutuan Australia Bronwyn Bishop di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini.

Pertemuan antara Bishop dan Abu Zahar yang berlangsung hampir satu jam bertujuan mempertingkat hubungan baik Malaysia dan Australia.

Bercakap kepada pemberita selepas lawatan itu, Abu Zahar berkata Bishop menyatakan hasrat untuk mempererat hubungan dan membuka peluang ekonomi yang lebih baik antara kedua-dua negara.

Katanya Bishop juga meluahkan rasa simpati dan sedih atas kejadian kehilangan pesawat MH370 yang menimpa Malaysia dan negaranya akan terus komited dalam membantu mencari dan mengesan pesawat itu.

“Bishop beritahu, pihaknya akan sentiasa bantu Malaysia (mencari pesawat MH370). Beliau kata kejadian ini adalah misteri dan ia boleh berlaku kepada mana-mana negara,” katanya.

Penerbangan MH370 hilang daripada radar pada 8 Mac ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal.

Pesawat Boeing 777 itu masih belum ditemui walaupun pencarian besar-besaran telah dilakukan di selatan Lautan Hindi, tempat pesawat itu dipercayai berakhir. — Bernama

Advertisement