Anda di sini

PPM Semporna gagalkan cubaan bawa kayu tanpa permit

Advertisement

DUA suspek dan kayu bergergaji yang dibawa tanpa permit kebenaran dibawa ke Pangkalan PPM Semporna.

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna menggagalkan tiga cubaan membawa kayu tanpa permit di perairan Semporna dalam tempoh hampir sejam, Rabu lepas.

Komander PPM Sabah ACP Mohammad Madun berkata, PPM Semporna diketuai Pegawai Pemerintahnya ASP Safardi Abd Samad berhasil merampas 26 batang kayu bergergaji.

“Kejayaan ini dicapai semasa pasukan kita menjalankan Op Paradise menggunakan bot samaran dan bot tempur RH48 di perairan Sum-Sum dan Laut Kabogan,” katanya.

Mohammad berkata, rampasan pertama dibuat di atas sebuah perahu berenjin bot pam kira-kira jam 5.45 petang namun tiga suspek di bot terbabit terjun ke laut.

Manakala rampasan kedua dan ketiga direkodkan antara jam 6.15 dan 6.20 petang di Laut Kabogan hasil pemeriksaan di dua perahu berenjin bot pam.

“Dalam kes kedua, kita berhasil menangkap dua suspek tetapi dua suspek lagi dalam kes ketiga dapat melarikan diri,” katanya menerusi satu kenyataan media di sini kemarin.

Turut dirampas, tiga perahu, tiga enjin bot pam, tiga unit shart dan propeller, tiga chainsaw yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM19,700 termasuk kayu terbabit.

Beliau berkata, siasatan kes terbabit dibuka mengikut Seksyen 30 (1) (g) Enakmen Perhutanan kerana memiliki barang hutan tanpa permit.

Dalam perkembangan berasingan, PPM Semporna turut berhasil menangkap 12 warga asing kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri semasa diperiksa.

“Kesemua mereka diperiksa di dua bot berasingan antara jam 9 pagi dan jam 11.30 pagi di Laut Pelabuhan Semporna dan Laut Timba-Timba Spa menerusi Op Paradise dan Op Taring,” katanya.

Menurut Mohammad, siasatan kes terbabit dijalankan di bawah Akta Imigresen 1959/ 63 dan kesemua tangkapan serta rampasan dibawa ke Pangkalan PPM Semporna.

 

Advertisement