Anda di sini

Pentas tunjuk kehebatan

Advertisement

PEMANGKIN KEJAYAAN: Pengurus penajaan Titus Tay (kiri) menerima tajaan daripada Pengarah 4X4 Quest Sdn Bhd Paul Si sambil disaksikan Pengerusi Penganjur Wilfred Sim (tengah) dan yang lain.

JJ Extreme 4X4 Garage bakal anjur Cabaran 4×4 Kuching pada 4-6 Oktober depan

Oleh Harry Illias //

KUCHING: Cabaran 4×4 Kuching yang akan berlangsung pada 4-6 Oktober depan bakal menjanjikan saingan sengit kepada peminat sukan lasak tempatan.

Dianjurkan oleh JJ Extreme 4X4 Garage yang berpangkalan di Kuching, perlumbaan tersebut akan menjadi pentas bagi pelumba memperagakan kemahiran mereka ketika menempuh laluan sukar dan berbukit.

“Pelumba akan berdepan banyak laluan berlumpur yang memerlukan kemahiran individu,” jelas Pengerusi Penganjur Wilfred Sim.

Sim yang merupakan pelumba veteran berharap ramai pelumba 4×4 terbaik dari Kuching dan Kota Samarahan tidak melepaskan peluang bagi merebut kejuaraan pada perlumbaan yang akan diadakan di Lee Ling Heights, Kota Sentosa (Batu 7).

Perlumbaan itu juga disokong oleh Persatuan Pacuan Empat Roda Kuching dan Kota Samarahan dan Sarawak Adventure and Travel Association (SAKTA).

“Ramai pelumba dari Sarawak telah berjaya menempah nama pada perlumbaan 4×4 di dalam dan luar negara.

“Pastinya pelumba veteran mahu melihat mereka ini mempamerkan kemahiran lebih-lebih lagi di tempat sendiri,” katanya.

Menurut Sim, perlumbaan itu akan dibahagikan kepada Kelas A, B dan C mengikut spesifikasi kenderaan yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur.

Jelasnya, perlumbaan itu bertujuan menggalakkan penglibatan pelumba atau peminat yang baharu menceburkan diri dalam perlumbaan 4×4 merasai pengalaman berlumba dalam keadaan yang cukup lasak dan mendebarkan.

Penganjur menyasarkan sejumlah 250 pelumba dengan yuran berjumlah RM300 dikenakan kepada setiap pasukan tanpa mengira kelas yang disertai.

Tarikh tutup penyertaan pada 1 Oktober depan.

“Kita mahu merakamkan terima kasih kepada pihak penaja yang sudi menghulurkan tajaan dan sokongan bagi memeriahkan lagi perlumbaan ini,” tambah Sim lagi.

 

Advertisement