Anda di sini

Tiga nelayan diberkas, ceroboh kawasan larangan, tangkap penyu

Advertisement

Oleh AMIR ANUAR //

ANGGOTA PPM menunjukkan tiga ekor penyu yang sudah mati di atas sebuah bot pukat tunda.

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna menahan tiga nelayan tempatan kerana disyaki menangkap ikan di kawasan larangan perairan Semporna, Selasa lepas.

Komander PPM Sabah ACP Mohammad Madun berkata, ketiga-tiga suspek juga dipercayai menangkap penyu kerana turut ditemui tiga ekor penyu mati di bot mereka.

“Ketiga-tiga suspek diberkas di sebuah bot pukat tunda di perairan Pulau Sisipan kira-kira jam 6.25 petang di kawasan perairan Pulau Sisipan,” katanya di sini kelmarin.

Beliau berkata, penahanan ke atas ketiga-tiga suspek juga dijalankan semasa sepasukan PPM Semporna menjalankan Op Taring menerusi Botronda PGR 12.

Mohammad berkata, PPM memandang serius kes itu kerana penyu adalah haiwan liar yang dilindungi dan nelayan terbabit berada di kawasan larangan.

“Ketiga-tiga nelayan disyaki melakukan dua kesalahan iaitu menangkap ikan di kawasan larangan dan menangkap tiga hidupan liar yang dilindungi,” katanya.

Menurutnya, nelayan-nelayan terbabit didapati menangkap kira-kira 80kg ikan yang dianggarkan bernilai RM300 dan akan dirujuk kepada Jabatan Perikanan.

Beliau berkata, siasatan dibuat mengikut Akta Perikanan 1985, manakala kes tangkapan penyu pula akan disiasat menerusi Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

“Kita sudah menahan kesemua suspek dan membawa mereka termasuk barang-barang rampasan kes ke Pangkalan PPM Semporna untuk tindakan lanjut,” katanya.

Advertisement