Anda di sini

Tempoh penggantungan Annuar berakhir 4 Oktober ini

Advertisement

KUALA LUMPUR: Beliau begitu meminati sukan bola sepak dan mencintai dunia bola, kerana itu Tan Sri Annuar Musa bertekad akan terus bergiat aktif dalam bidang ini dan berusaha membantu meningkatkan mutu sukan bola sepak negara.

Bekas timbalan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu akan bebas daripada tempoh penggantungannya pada 4 Oktober ini selama dua tahun enam bulan yang bermula pada 4 April 2012.

Ketika dihubungi Bernama, Annuar berkata beliau tetap mahu berbakti kepada sukan bola sepak negara walaupun tidak melalui FAM.

“Buat masa ini saya tidak ada sebarang keputusan muktamad lagi sama ada mahu kembali kepada FAM atau tidak… tetapi saya tetap mahu kekal aktif dalam sukan bola sepak.

“Bagi saya di mana jua saya berada pun, saya tetap boleh bantu sukan ini untuk berkembang. Mana-mana pun tidak kesah. Fokus saya hanya mahu bantu sukan bola sepak, sama ada dengan FAM atau bersama The Red Warriors,” katanya.

Annuar menerusi status Facebook miliknya berkata beliau tidak sabar menunggu tarikh tamat penggantungannya itu yang ditetapkan oleh jawatankuasa tatatertib FAM.

Hukuman itu dikenakan terhadap Annuar atas kesalahan mengeluarkan kenyataan kepada media tanpa izin FAM serta melanggar titah Timbalan Presiden FAM ketika itu Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (kini Presiden FAM). — Bernama

Advertisement