Anda di sini

Persatuan disaran serah senarai skuad bayangan secepat mungkin, kata Lucas

Advertisement

KUCHING: Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) menyarankan kepada semua persatuan sukan yang terlibat dalam SUKMA 2015 di Kuala Lumpur agar menyerahkan senarai skuad bayangan selewat- lewatnya pada penghujung September ini.

Ini dijelaskan oleh Pemangku Pengarah MSNS Lucas Kalang Laeng pada sidang media di pejabat beliau semalam.

Menurutnya, kontinjen Sarawak perlu membuat persiapan awal memandangkan masa kian suntuk kerana SUKMA ke-18 dijangka bermula awal iaitu pada penghujung Mei tahun depan.

“Saya berharap pasukan terbabit dapat menghantar senarai skuad bayangan secepat mungkin,” katanya.

“Ini akan memudahkan kita merangka perancangan dari segi penyediaan bajet dan latihan pendedahan kepada setiap pasukan yang terlibat.”

Menurut Lucas, tempoh bagi setiap pasukan menjalani latihan pendedahan telah ditetapkan dari November hingga April tahun depan manakala latihan berpusat akan bermula pada Disember 2014.

Tambahnya, pendaftaran penuh atlet akan diadakan pada Februari 2015.

“Kita meletakkan sasaran untuk memperbaiki pencapaian yang dicatat pada SUKMA lalu. Justeru, saya sekali lagi berharap setiap pasukan terlibat akan memberi kerjasama dengan baik bagi memastikan sasaran kita tercapai,” ujarnya.

Sarawak menetapkan hanya menyertai 10 dari 20 acara yang dipertandingkan pada SUKMA 2015 nanti.

Acara tersebut adalah lawan pedang, muaythai, futsal lelaki, judo, kayak, kriket, bina badan, bola tampar pantai (lelaki dan wanita), kabaddi dan bola baling.

Manakala acara yang tidak disertai akuatik, ping pong, bola keranjang, basikal trek, bola lisut, woodball, ekuestrian, silambam, ragbi dan bola jaring.

Menurut Lucas lagi, acara yang disenaraikan itu masih belum muktamad dan MSNS bersedia menyenaraikan acara lain yang berpotensi untuk menghadiahkan pingat emas.

Sarawak menduduki tangga ke-11 pada SUKMA 2013 dengan meraih empat emas, sembilan perak dan lima gangsa.

Advertisement