Anda di sini

Dicekup ketika asyik larikan kenderaan

Advertisement

Oleh RUZAINI ZULKIFLI //

KOTA KINABALU: Hasrat dua penjenayah untuk berkongsi hasil lumayan dengan kegiatan mencuri kenderaan akhirnya terburai selepas mereka berjaya dicekup polis dalam kejadian di Asia City, di sini kelmarin.

SALEHUDIN (tengah) bersama Chandra (kanan sekali) menunjukkan barangan yang dirampas hasil daripada tangkapan suspek di sini kelmarin.

Insiden yang berlaku jam 5 petang itu, kedua-dua suspek berusia 33 dan 41 tahun itu ditahan ketika mereka sedang ‘asyik’ membawa lari sebuah kereta jenis Proton Waja dari perkarangan kawasan berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Asisten Komisioner Salehudin Abdul Rahman berkata, pada mulanya pergerakan mereka berjaya dihidu oleh sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di mana kedua suspek sedang menaiki sebuah kereta Perodua Myvi.

“Oleh kerana mencurigakan, anggota kita telah mengambil langkah untuk mengekori mereka dari Luyang menuju ke perkarangan kawasan Asia City.

“Sebaik tiba di Asia City, dua suspek dipercayai memasuki sebuah Proton Waja dan akhirnya mereka berjaya dicekup oleh beberapa anggota yang berada di tempat kejadian,” katanya pada sidang media di IPD Kota Kinabalu kelmarin.

Turut hadir adalah Ketua Polis Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra.

Salehudin berkata, kedua kenderaan terbabit didapati adalah kenderaan curi dan telah dilaporkan hilang sebelum ini.

Katanya, susulan penahanan kedua-dua suspek telah membawa rampasan lain iaitu sebuah Proton Wira di kawasan Luyang dan sebuah motosikal di daerah Penampang.

“Selain itu, antara yang dirampas adalah seperti kunci, telefon bimbit, salinan kad kenderaan, jam tangan, komputer riba dan empat keping cukai jalan.

“Kita turut mendapati suspek telah terlibat dalam aktiviti menjalankan pemalsuan pelbagai dokumen berkaitan termasuk lesen memandu serta cukai jalan berdasarkan rampasan-rampasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, salah seorang daripada suspek juga dilaporkan mempunyai empat rekod kesalahan lampau.

“Pemeriksaan lanjut turut mendapati kedua-dua suspek adalah positif dadah selepas mereka gagal dalam ujian saringan air kencing,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Advertisement