Anda di sini

200 peserta berentap pada Pertandingan Wushu Antara Sekolah Bahagian Kuching

Advertisement

KUCHING: Lebih 200 peserta dari 28 sekolah rendah dan menengah termasuk dua prasekolah akan menyertai Pertandingan Wushu Antara Sekolah Bahagian Kuching kali pertama yang akan diadakan di Dewan Sekolah SJK Chung Hua No.5 pada Sabtu ini (13 September).

Turut terlibat 25 peserta wushu dari SMK Sungai Tapang, Samarahan yang akan bertanding sebagai pasukan jemputan.

Kejohanan julung kali diadakan itu dianjurkan oleh Kelab Wushu Bandar Kuching dan SJK Chung Hua No.5 manakala disokong oleh Persekutuan Wushu Sarawak (WFS) dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS).

Ia bertujuan mencungkil bakat-bakat baharu untuk diserap ke dalam program pembangunan WFS.

“Kejohanan ini akan menjadi platform bagi atlet muda mempamerkan bakat mereka selain mengeratkan hubungan antara semua peserta,” jelas Setiausaha Kelab Wushu Bandar Kuching Peter Ting semalam.

Menurutnya, kejohanan itu juga bertujuan memilih peserta terbaik bagi mewakili Kuching pada Kejohanan Wushu Sarawak yang akan diadakan di Miri pada tahun ini.

“Wushu telah disenaraikan sebagai subjek kokurikulum dan kita mahu mempromosi sukan ini dengan lebih intensif di peringkat sekolah-sekolah,” katanya.

Tambahnya, empat pemenang bagi setiap acara akan menerima pingat manakala empat sekolah terbaik bagi kategori sekolah rendah dan menengah akan menerima trofi.

Pengerusi Lembaga Sekolah Rendah Chung Hua No.1 – 6 Kuching Wong Tiong Hock akan merasmikan kejohanan.

Advertisement