Anda di sini

Polis tahan lelaki miliki senjata tiruan

Advertisement

Oleh Mohd Nazib Macpee

Hamzah (tengah) menunjukkan hasil rampasan senjata tiruan yang dimiliki suspek manakala Ladamah (kanan) menunjukkan gambar suspek yang ditahan.

LAHAD DATU: Polis menahan seorang lelaki dan merampas sepucuk senjata tiruan jenis pistol di hadapan sebuah bank di kawasan Bandar Sri Perdana, di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Hamzah Ahmad berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Lahad Datu diketuai Insp Zaidi bergegas ke lokasi dan menahan lelaki terbabit yang berusia awal 30-an.

“Ketika tangkapan dan pemeriksaan dilakukan ke atas suspek, polis menemui dan merampas sepucuk senjata tiruan jenis pistol yang diselitkan di bahagian pinggang sebelah kanan dalam sebuah beg berwarna hitam,” katanya pada sidang media di IPD Lahad Datu, di sini kelmarin.

Beliau berkat, siasatan ke atas suspek menunjukkan suspek berasal dari Semenanjung dan merupakan seorang lelaki yang dikehendaki bersabit kes jenayah di IPD Kajang.

“Di daerah ini, suspek juga dipercayai terlibat dalam beberapa kes penipuan dan penyamaran sebagai penjawat awam,” katanya.

Beliau berkata polis percaya ramai lagi orang awam menjadi mangsa jenayah oleh suspek.

Justeru, polis meminta agar mangsa berkenaan tampil ke IPD Lahad Datu untuk membuat laporan polis.

Hadir sama dalam sidang media itu Ketua Bahagian Siasatan Jenayah daerah Lahad Datu ASP Ladamah Sulaiman dan anggota JSJ.

 

Advertisement