Anda di sini

Pelajar bergaduh ala Crow Zero, jabatan tunggu laporan

Advertisement

Oleh I.SAB KHAN MUKARAB SHAH

AKSI pergaduhan pelajar yang dikatakan berlaku di sebuah sekolah menengah di Telupid dan kini tersebar menerusi aplikasi Whatsapp.

KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah masih menunggu laporan berhubung insiden pergaduhan yang dikatakan berlaku di sebuah sekolah menengah di daerah Telupid.

Pengarahnya Datuk Jame Alip berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu.

Beliau juga tidak memberi tempoh berapa lama laporan itu perlu dikemukakan.

Sementara itu, jurucakap sekolah berkenaan ketika dihubungi Utusan Borneo mengesahkan berlaku dua insiden pergaduhan minggu lepas yang mana satu daripadanya adalah pergaduhan melibatkan pelajar.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut sejauh mana serius kejadian berkenaan dan hanya menyatakan bahawa satu daripada kes itu telah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu, rakaman video mengenai kejadian itu telah tersebar luas melalui aplikasi Whatsapp.

Rakaman berdurasi selama 37 saat itu menunjukkan dua kumpulan pelajar bergaduh dengan sebahagian daripadanya memakai baju seragam sekolah.

Pergaduhan ala-ala filem Jepun ‘Crow Zero’ itu memperlihatkan dua pelajar bergaduh sebelum campur tangan rakan-rakan daripada kedua-dua kumpulan.

Kesudahan video menunjukkan seorang pelajar tidak berbaju membelasah seorang pelajar lain sehingga terhumban ke kawasan semak sebelum dibelasah pelajar lain.

 

Advertisement