Anda di sini

80 peratus rumah di Perkampungan Logpond Takala hangus

Advertisement

Oleh AMIR ANUAR

ORANG ramai cuba sehabis daya untuk menyelamatkan rumah penduduk kampung.

TAWAU: Perkampungan Logpond Takala, Kg Tanjung Batu Keramat Laut hampir lenyap apabila 80 peratus rumah penduduknya musnah dalam kebakaran terbesar di Tawau tahun ini.

Maklumat di pusat gerakan Bomba dan Penyelamat Daerah Tawau sehingga jam 12 tengahari kelmarin merekodkan jumlah kerugian kasar menjangkau lebih RM5.4 juta.

Utusan Borneo difahamkan daripada 100 rumah di kawasan terbabit sebanyak 80 rumah hangus sama sekali yang melibatkan 81 ketua isi rumah (534 mangsa).

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Kantak Matta berkata, hanya 20 daripada 100 rumah di kawasan itu yang terselamat di dalam insiden terbabit.

“Walaupun terselamat, namun rumah-rumah ini turut terjejas akibat dinding dan cermin tingkap dipecahkan selain ada yang terbakar sebahagian,” katanya ketika ditemui.

Beliau yang turut kehilangan rumahnya akibat insiden itu berkata, api merebak pantas dari rumah ke rumah sehingga menyebabkan situasi panik dan kelam-kabut.

Katanya, semasa kebakaran berlaku beliau baharu sahaja selesai menunaikan Solat Maghrib sebelum salah seorang anaknya memberitahu tentang insiden terbabit.

“Pada masa itu, saya segera memberitahu isteri dan empat anak saya supaya mengambil dokumen penting sahaja kerana bimbang api yang dilihat semakin hampir dengan rumah.

“Syukur juga tidak ada sebarang kemalangan jiwa yang berlaku dalam insiden ini,” katanya sambil mengakui redha atas musibah dan ujian yang melanda mereka.

Berdasarkan rekod bomba, aduan awam mula diterima jam 6.20 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian dengan kekuatan seramai 37 pegawai dan anggota.

Mereka dilengkapi tiga jentera Scania, dua pacuan empat roda, jentera EMRS dan utiliti penyiasatan namun berhadapan kesukaran kerana masalah tekanan air dan kekurangan pili bomba.

Malah, ketiga-tiga jentera bomba tidak dapat memasuki kawasan penempatan padat terbabit kerana jalan sempit dan lambakan kenderaan orang awam menghadang jalan.

Operasi memadam dan mengawal kebakaran memakan masa lebih 10 jam sebelum selesai sepenuhnya dijalankan pada jam 3.47 pagi.

Bantuan turut diterima daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia selain orang awam.

Kebakaran di kampung itu adalah kes terbaharu selepas kejadian yang menyaksikan 10 rumah musnah terbakar di Kg Pasir Putih Baru pada 14 Ogos lalu.

Advertisement