Anda di sini

Sarawak idam mahkota

Advertisement

Oleh Mahathir Haroun //

SCA azam memenangi kejuaraan Liga Kebangsaan pada musim pertama

KUCHING: Persatuan Kriket Sarawak (SCA) mengidamkan untuk memenangi mahkota kejuaraan Liga Kebangsaan bagi pasukan kriket Sarawak pada musim pertama penyertaannya tahun depan.

Presidennya , Awang Mahyan Awang Mohammad berkata pasukan Sarawak akan beraksi dalam Liga Kebangsaan pada kejohanan anjuran Persatuan Kriket Melayu Malaysia (PKMM) setelah dinaikkan ke liga utama minggu lalu.

“Pasukan kriket kita (Sarawak) akan bermain dalam Liga Kebangsaan buat pertama kali tahun ini setelah naik ke liga utama selepas mengharungi liga divisyen dua sebelum ini,” katanya di sini semalam.

Justeru itu, Awang Mahyan menaruh keyakinan tinggi bahawa pasukan kriket Sarawak mampu mengorak langkah lebih jauh dan memenangi liga tersebut tahun depan.

“Saya percaya tiada apa yang mustahil selagi kita meletakkan minda kita ke arahnya (matlamat juara). Kita telah bekerja keras untuk memastikan kita dinaikkan ke liga utama dan berjaya,” katanya dengan penuh bangga.

Awang Mahyan menarik perhatian bahawa bukanlah tugas mudah untuk pasukan kriket Sarawak menggapai impian itu dengan usaha perlu dipertingkatkan.

“Kita perlu menunjukkan kesungguhan yang kita boleh mara lebih jauh biarpun sekadar mengharungi divisyen dua selama setahun,” ujarnya.

Beliau berharap pasukan kriket kita dapat merealisasikan misi untuk menjadikan Sarawak sebagai kuasa kriket di persada Malaysia.

Menurutnya, pada masa sekarang Sarawak memerlukan gelanggang kriket yang sesuai dan lengkap untuk menganjurkan perlawanan di tempat sendiri.

“Buat masa ini, kita belum memiliki gelanggang sendiri justeru saya berharap impian kita memiliki stadium kriket akan menjadi kenyataan,” katanya.

Advertisement