Anda di sini

Sambutan Hari Malaysia peringkat Sabah di Kompleks Sukan Likas

Advertisement

KOTA KINABALU: Kementerian Belia dan Sukan Sabah mengatur pelbagai program dan acara khas termasuk amanat khas kerajaan negeri oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin sempena sambutan Hari Malaysia Ke-51 peringkat negeri, 16 Sept ini.

Menterinya Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata acara itu akan disambut secara sederhana, namun penuh bermakna di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Kota Kinabalu, di Likas di sini.

“Tujuan utama sambutan ini antaranya memartabatkan tarikh yang amat penting dan bermakna bagi negeri Sabah, meningkatkan kesedaran dalam kalangan generasi muda untuk memahami dan menghayati Hari Pembentukan Malaysia,” katanya dalam sidang media di Wisma Muis di sini semalam.

Tawfiq yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan itu berkata program tersebut dapat memberi ruang kepada masyarakat di Sabah untuk meraikan Hari Malaysia disertai sambutan Hari Malaysia Ke-51 peringkat Kebangsaan di bandar raya Miri, Sarawak.

“Antara acara yang disusun ialah Kawalan Kehormat Utama, Lafaz Ikrar Rukun Negara daripada 51 Pemimpin Belia pelbagai suku kaum yang lahir pada 16 Sept, persembahan lagu-lagu patriotik, deklamasi puisi dan ‘choral speaking’ oleh Kumpulan Lantai Cilik,” katanya. — Bernama

Advertisement