Anda di sini

Pertahankan warisan budaya

Advertisement

SRI AMAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang Datuk Francis Harden Hollis mahu warisan budaya dikekalkan kerana ia mempunyai identiti tersendiri.

Menurutnya, ini termasuk pakaian, makanan, adat resam, seni dan sebagainya kerana budaya seperti ini melambangkan identiti sesebuah kaum serta amalan budaya tradisional juga melambangkan sifat majmuk masyarakat Malaysia.

“Keunikan pakaian tradisional pelbagai bentuk potongan dan cara pemakaian serta berwarna-warni melambangkan budaya tradisional masyarakat kita yang menunjukkan budi pekerti dalam masyarakat majmuk,” katanya pada Malam Budaya Cheongsam dan Pakaian Kitar Semula anjuran Pemuda Persatuan Hopoh Sri Aman di Dewan Suarah Sri Aman, malam kelmarin.

Menurutnya, budaya perlu dikekalkan demi kesinambungan tamadun kaum masing-masing kerana melalui budaya tradisional, kita dapat mengetahui asal usul masyarakat agar budaya kita tidak dilupakan.

Beliau meminta masyarakat khususnya golongan muda menghargai pemakaian dan penghasilan pakaian tradisional dengan mengamal dan mempelajarinya agar tradisi ini tidak pupus dan terus kekal menjadi warisan generasi akan datang.

“Saya berharap program seumpama ini mampu menghidupkan kembali pemakaian dan penghasilan pakaian tradisional dan dapat menghidupkan warisan budaya kita juga menjana sumber ekonomi,” katanya.

Harden yang juga Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Muda Perumahan menjelaskan, kitar semula merupakan aktiviti yang memberi manfaat besar dalam mengekalkan sumber dan alam semula jadi yang kian terancam.

Jelasnya, pendidikan amat penting dalam meningkatkan kesedaran terhadap pemuliharaan dan perlindungan alam sekitar khususnya di kalangan generasi muda.

“Melalui kesedaran itu, generasi muda dapat memainkan peranan lebih aktif dan menggembleng tenaga melindungi alam sekitar serta menyelesaikan masalah berkaitan isu-isu persekitaran.

“Generasi muda perlu didedahkan dengan pendidikan alam sekitar secara formal supaya mereka memperolehi pengetahuan tentang pentingnya penjagaan alam sekitar kepada kehidupan manusia,” katanya.

Hadir sama Temenggung Sii Toh Peng, Presiden Persatuan Hopoh Bahagian Sri Aman Penghulu Lee Siang Hua, Penghulu Lee Thong Sen, pengerusi pengelola Hwang Chiew Sia serta ketua-ketua masyarakat.

Pada majlis tersebut, Harden turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM11,000 untuk persatuan itu bagi menjalankan aktiviti mereka.

Advertisement