Anda di sini

Persatuan Alumni PTD anjur persidangan antarabangsa hari ini

Advertisement

KUALA LUMPUR: Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik akan menganjurkan persidangan antarabangsa selama dua hari bermula hari ini.

Presidennya, Tan Sri Sallehuddin Mohamed berkata persidangan bertemakan ‘Kepimpinan Transformasi di Malaysia’ bertujuan untuk menjadi platform kepada peserta mengembangkan pengetahuan mengenai kepimpinan dan kepimpinan transformasi melalui perkongsian pengetahuan dan pengalaman.

“Sasaran untuk mencapai Wawasan 2020 bagi Malaysia menjadi negara maju semakin kelihatan pesat. Siri langkah-langkah baharu telah dilaksanakan oleh kerajaan untuk mempercepatkan dan memastikan negara mencapai wawasannya.

“Antara langkah itu ialah transformasi perkhidmatan awam sebagai fasilitator penting ke arah mencapai objektif ini. Bagaimanapun, ada pelbagai isu dan cabaran yang masih menghalang proses itu. Ini perlu ditangani dan diatasi,” kata beliau dalam sidang media semalam.

Sallehuddin berkata, lebih 350 peserta termasuk pegawai kanan kerajaan dan pemimpin sektor swasta telah mendaftarkan diri untuk menyertai persidangan itu.

Beliau berkata laporan dan cadangan daripada para peserta semasa persidangan akan dikumpul dan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Antara penceramah persidangan termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas ketua pengarah Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob. — Bernama

Advertisement