Anda di sini

Muhyiddin terima kunjungan tiga bakal duta, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke luar negara

Advertisement

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam menerima kunjungan hormat tiga bakal Duta Besar dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke luar negara.

Mereka ialah Datuk Lim Kim Eng yang bakal bertugas sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Rahimi Harun sebagai Duta Besar Brazil dan Datuk Saiful Azam Martinus Abdullah sebagai Duta Besar ke Croatia.

Pertemuan tertutup itu berlangsung kira-kira setengah jam bermula jam 2 petang di Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Pejabat Perdana Putra di sini.

Antara perkara yang dibincangkan ialah mengenai hubungan dua hala antara Malaysia dan ketiga-tiga negara berkenaan serta peluang perniagaan.

Kim, 57, pernah menyandang beberapa jawatan penting termasuk Duta Besar Malaysia ke Vietnam pada 2007 hingga 2011.

Rahimi, 52, pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Republik Demokratik Rakyat Korea pada 2008 hingga 2011.

Saiful Azam, 47, pula pernah menjadi Timbalan Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat dari 2010 hingga tahun 2013.

Selepas itu, beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Bahagian, Bahagian Keselamatan Pelbagai Hala. — Bernama

Advertisement