Anda di sini

Lelaki didakwa terbit penerbitan menghasut dalam Facebook

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pekerja hotel semalam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang terhadap pertuduhan menerbitkan penerbitan yang menghasut melalui laman sosial Facebook berhubung kedudukan Raja, Januari lepas.

Ali Abd Jalil, 29, didakwa menerbitkan penerbitan itu di No 62, Jalan SM9, Sunway, Batu Caves di sini pada jam 2 petang, 21 Jan lepas.

Ali yang juga seorang pelajar sambilan sebuah universiti swasta didakwa mengikut Seksyen 4(1)(C) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Ahmad Fairuz Mohd Fuzi membenarkan Ali diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Okt untuk sebutan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim manakala tertuduh diwakili peguam Michelle Yesudas.

Di SHAH ALAM, Ali dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut yang dikatakan menghina kedudukan Sultan Selangor berhubung isu Menteri Besar baharu melalui laman sosial Facebook, bulan lepas.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tingkat dua, Pejabat Jabatan Siasatan Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Jalan Persiaran Kayangan Seksyen 9 di sini pada jam 11.42 malam 18 Ogos lepas.

Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Okt untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendali Ketua Unit Pendakwaan Selangor Mohd Azari Harun. — Bernama

Advertisement