Anda di sini

Calon peperiksaan dalam talian kastam perlu kemuka aduan

Advertisement

PUTRAJAYA: Calon-calon yang menghadapi masalah semasa menduduki peperiksaan dalam talian Penguasa Kastam W41 harus mengemukakan aduan pada pautan http://aduan.spa.gov.my/AduanExam selewat-lewatnya 12 tengah hari Rabu ini.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) Tan Sri Mahmood Adam dalam kenyataan semalam berkata ia bagi memudahkan penyelarasan urusan peperiksaan semula oleh pihak SPA.

Bernama kelmarin melaporkan calon peperiksaan itu yang menghadapi masalah teknikal semasa menduduki peperiksaan berkenaan dua hari lepas, berpeluang menduduki semula peperiksaan itu Rabu ini (10 Sept) bermula jam 8 malam hingga 10.55 malam.

Calon-calon boleh menggunakan angka giliran sama seperti sebelum ini dan bagi tujuan pengesahan, semakan boleh dibuat melalui e-semakan.spa.gov.my pada Rabu ini bermula jam 2 petang.

Sebanyak 84,856 calon dipanggil menduduki peperiksaan itu, namun hanya 56,546 calon atau 67 peratus yang menduduki peperiksaan dengan jayanya.

Selain calon dalam negara, turut mengambil peperiksaan ialah 65 calon yang berada di 18 negara semasa peperiksaan itu dijalankan termasuk di Turki, India, Amerika Syarikat, Arab Saudi, Jepun dan Perancis.

SPA dengan kerjasama Jaring Communications Sdn Bhd dan Syarikat Novatis Resources Sdn Bhd menyediakan jalur lebar dengan kapasiti 250 Mbps untuk melaksanakan peperiksaan itu.

Ia merupakan peperiksaan dalam talian yang keenam dilaksanakan SPA sejak dilancarkan April tahun ini. — Bernama

Advertisement